Dua lelaki ditahan miliki senapang angin buatan sendiri
KEPALA BATAS- Dua lelaki ditahan kerana masing-masing dipercayai memiliki selaras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan tengah malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU menahan suspek pertama berusia 43 tahun pada jam 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Penaga.
Menurutnya, susulan penahanan itu, pihaknya merampas selaras senapang angin buatan sendiri, sebuah bekas mengandungi peluru 'bearing' dan sebuah pemampat beku (compressor freezer).
"Hasil soal siasat, kita berjaya menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah pada jam 3.20 petang hari yang sama. Kita juga merampas selaras senapang angin buatan sendiri dan sebuah bekas mengandungi peluru 'ball bearing'," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, suspek pertama mempunyai rekod lampau melibatkan dadah manakala suspek kedua yang berusia 40 tahun tidak mempunyai rekod lampau.
"Soal siasat dari kedua-dua suspek, mereka memberitahu senjata tersebut untuk kegunaan memburu selain sebagai keselamatan diri.
"Kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!