Tuchel pantau perkembangan Neymar

Neymar
Neymar
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel mendedahkan beliau memantau rapi perkembangan terkini penyerang utama Les Parisiens, Neymar yang mengalami kecederaan semasa aksi Ligue 1 menentang Reims.

Menurut pengendali dari Jerman berusia 47 tahun itu, beliau pada masa ini sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai status pemain Brazil berusia 28 tahun berkenaan.

"Mungkin kecederaan dialami Neymar berpunca dari pelanggaran atau sebaliknya semasa perlawanan. Apapun saya belum dapat mengesahkannya lagi sebaliknya perlu mendapatkan pandang daripada pegawai perubatan kelab.

"Neymar sebenarnya beraksi cemerlang pada perlawanan ini, cumanya dia terlalu banyak beraksi secara defensif pada babak pertama.

"Sebenarnya saya mahu Neymar beraksi sebagai pemain nombor 10, sebaliknya dia lebih gemar beraksi berstatus pemain nombor lapan," katanya.

Neymar dilaporkan berkemungkinan berdepan kecederaan betis selepas dilihat terhincut-hincut ketika meninggalkan padang selepas perlawanan.

Kemenangan 2-0 penyandang juara Ligue 1 ke atas Reims itu sekali gus mengekal momentum positif dalam dua perlawanan menentang Nice dan Metz sebelum ini.

PSG sebelum ini tewas dua aksi terkawal kepada Marseille dan Lens kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Tambah bekas pengendali Borussia Dortmund itu, beliau melihat masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan gergasi Ligue 1 berkenaan selepas aksi di Stade Auguste-Delaune berkenaan.

"Secara keseluruhannya kami memiliki separuh masa pertama yang baik kerana banyak mencipta peluang menjaringkan gol tetapi kami terlalu banyak kehilangan bola.

"Kami sepatutnya boleh sahaja mematikan permainan selepas 20 minit perlawanan. Pada babak kedua kami boleh sahaja mendahului tiga atau 4-0. Saya tidak gembira dengan babak kedua. Ia tidak cukup serius, agresif dan sengit," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!