Abdul Hadi nyaris dimasukkan ke hospital kerana pertukaran kerajaan

Abdul Hadi memuat naik video wawancara beliau bersama portal berita, Malaysia Gazette melalui ciapan Twitternya hari ini.
Abdul Hadi memuat naik video wawancara beliau bersama portal berita, Malaysia Gazette melalui ciapan Twitternya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan beliau nyaris dimasukkan ke hospital kerana terlalu bekerja keras dan bertungkus-lumus untuk memastikan proses peralihan kuasa kerajaan berjalan lancar Februari lalu.

Beliau berkata, walaupun beliau pernah berhadapan dan terlibat dengan pelbagai konflik politik di peringkat antarabangsa seperti di Bosnia, Palestin, Kashmir dan Afghanistan, namun peristiwa pertukaran kerajaan kali ini memberi cabaran berbeza.

Menurutnya, ini kerana ia berlaku di tanah air sendiri secara aman dan tanpa melibatkan pertumpahan darah.

"Saya dan dan rakan-rakan pimpinan politik negara berhempas pulas dalam isu ini sehingga tidur tak cukup, sehingga dua kali dinasihatkan untuk masuk hospital.

"Namun kami bekerja dengan penuh semangat hingga berlaku ‘perubahan’ yang sangat menarik dan aman. Tidak ada setitik darah pun yang tumpah kerananya," katanya yang memuat naik video wawancara bersama sebuah portal berita, Malaysia Gazette yang dikongsi melalui ciapan di Twitternya hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyifatkan peristiwa pertukaran kerajaan Pakatan Harapan kepada kerajaan Perikatan Nasional itu adalah pengalaman yang paling meninggalkan kesan sepanjang penglibatannya lebih 56 tahun dalam bidang politik.

Menurutnya, disebabkan peralihan kuasa yang berlaku, beliau dan pemimpin terlibat bertanggungjawab memastikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan orang Islam itu sendiri tidak terjejas.

"Pertama, tanggungjawab kita menyatukan mereka, yang kedua tidak boleh nafikan masyarakat bukan Islam, kita tidak boleh menolak mereka kerana mereka sebahagian daripada kita.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukanlah satu usaha yang mudah, orang Melayu sendiri berbeza pandangan, antara UMNO, Pas dan Bersatu. Kita juga tidak boleh mengabaikan masyarakat bukan Islam.

"Akhirnya kita berjaya mewujudkan titik pertemuan bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu, Islam yang adil untuk semua, ini penting," katanya.

Tambah beliau lagi, mereka juga berjaya mengumpulkan UMNO dan Pas dengan mewujudkan Muafakat Nasional (MN) dan mengajak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang inginkan perubahan dan diikuti rakan-rakan di Sabah dan Sarawak.

"Kemudian kita berjaya mengajak kaum bukan Islam yang tidak ekstrim, yang bencikan huru-hara dan pergaduhan untuk bersama kita. Maka wujudnya satu pakatan, mula-mula MN dan Perikatan Nasional. Ini satu langkah awal yang perlu disambungkan lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!