Tiada perubahan jadual Liga-M setakat ini
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak berhasrat untuk mengubah jadual Liga Malaysia (Liga-M) buat masa ini meskipun wujud kebimbangan mengenai risiko penularan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata ujian Covid-19 ke atas skuad Melaka United, sebelum berlepas dari Sabah menunjukkan keputusan negatif, dan pihaknya memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Jadual perlawanan kekal selepas MFL mengambil maklum keputusan ujian skuad Melaka United pada hari itu untuk meneruskan perlawanan. Difahamkan pasukan Melaka United melakukan ujian kedua hari ini dan keputusan itu dijangka didapati dalam masa tiga hari sebelum aksi bertemu JDT.
“Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, kami akan mengambil keputusan selanjutnya berdasarkan situasi semasa. MFL akan sentiasa memantau perkembangan semasa dan akan memaklumkan kepada pasukan jika ada perubahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Kementerian Kesihatan (KKM) pada Ahad lepas menetapkan semua individu yang baharu tiba dari Sabah, wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bermula semalam hingga 10 Oktober dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).
Ia menimbulkan persoalan mengenai dua aksi Liga Super pada Jumaat ini, membabitkan JDT menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan Kedah melawan Melaka United di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Sabah dijangka berlepas ke Johor Bahru esok, manakala skuad Melaka United yang tiba dari Kota Kinabalu selepas aksi Liga Super menentang Sabah pada Ahad, diletakkan di bawah HSO mengikut ketetapan kerajaan.
JDT hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super kali ketujuh berturut-turut, sekali gus sebarang pindaan pada jadual bakal menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora terpaksa menunggu lebih lama untuk meraikan kejayaan mereka.
Dengan berbaki dua lagi perlawanan, skuad Harimau Selatan berada di persada carta Liga Super dengan 23 mata, diikuti Perak (17), Kedah (16) dan UiTM FC (14). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!