Sumareh tiba di Thailand hari ini

Pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh (kiri). -Foto Bernama
Pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh (kiri). -Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh yang telah mengesahkan kontrak bersama pasukan kelab Thailand, Police Tero FC pada 7 September lepas tiba di Bangkok hari ini.

Pengurus kelab Police Tero FC Tanya Vongnark yang mengesahkan ketibaan Sumareh berkata, pemain sayap itu diberikan visa untuk terbang ke Thailand melalui penerbangan penghantaran pulang dari Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada jam 2.30 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, Sumareh, 26, yang terpaksa menangguhkan perjalanannya susulan pandemik koronavirus (Covid-19) dan sekatan perjalanan antarabangsa, perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di lokasi alternatif kuarantin (ASQ) di Bangkok.

“Saya gembira akhirnya dia (Sumareh) tiba dan akan beraksi bersama pasukan kami tidak lama lagi,” kata Tanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Sumareh akan menyertai seorang lagi pemain negara Dominic Tan, yang mengikat kontrak dua tahun bersama pasukan Police Tero FC pada Julai tahun lepas.

Police Tero FC kini menduduki tangga keempat Liga 1 Thai.

Sumareh, yang sebelum ini mengikat kontrak bersama Pahang sehingga 2022, menyertai pasukan Police Tero FC iaitu dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan pemain kelahiran Gambia itu sudah sebulan tidak menjalani sesi latihan sejak awal Ogos. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!