Lelaki bakar masjid ditahan
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membakar Masjid Kampung Titian Baru, di sini, menggunakan mancis api dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi, semalam.
Menurut saksi kejadian, 48, dia yang ketika itu berada di rumahnya yang terletak di hadapan masjid ternampak asap tebal sebelum bergegas ke lokasi.
"Setibanya di kawasan masjid, saya dapati tingkat atas masjid yang sedang terbakar.
"Semasa itu juga, saya ternampak ada beberapa jemaah masjid cuba naik ke tingkat atas bagi memadamkan api sebelum menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Saksi berkata, bagaimanapun, semasa pihak bomba tiba di lokasi, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan kerjasama jemaah masjid dan penduduk kampung berhampiran.
"Akibat kejadian, hampir separuh karpet di dalam masjid musnah termasuk juga kerusi di sediakan untuk jemaah," katanya.
Susulan insiden itu, pagi tadi, kira-kira jam 5.30 pagi, suspek diserahkan kepada polis oleh adiknya sendiri untuk tindakan selanjutnya.
Pemeriksaan ke atas anggota badan suspek menjumpai satu kotak mancis api yang disorokkan di dalam poket seluar dipakainya.
Sementara itu, bermula hari ini, suspek dibenarkan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!