Keputusan tangguh pendaftaran pelajar wajar

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Raman Noordin
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Raman Noordin
A
A
A

SHAH ALAM - Penangguhan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah akibat koronavirus (Covid-19) secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini adalah tindakan wajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Raman Noordin berkata, beliau tidak melihat arahan penangguhan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu sebagai membebankan pelajar.

"Ramai ibu bapa juga setuju kerana bimbang dengan keadaan ketika ini dan memang ada pelajar yang mempertikaikan keputusan penangguhan ini, namun mereka boleh menerimanya selepas diberi penjelasan.

"Jika penangguhan tidak dibuat ia akan memberi lebih risiko kepada pelajar terutama dalam aspek keselamatan diri mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Raman berkata, pihaknya juga ada berhubung dengan syarikat penerbangan susulan penangguhan tersebut dan mereka bersetuju untuk membantu dalam situasi di luar jangka.

"Pihak syarikat penerbangan setuju untuk 'reschedule' tarikh perjalanan pelajar. Saya juga dapat maklumat ada syarikat penerbangan dari beberapa kawasan di Sarawak yang membatalkan penerbangan mereka atas faktor keselamatan.

"Jadi saya fikir tiada isu berhubung keputusan KPT untuk menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar lama dan baharu ini. Ia baik untuk semua dan untuk membantu Malaysia mengekang penularan Covid-19," katanya.

Sementara itu, KPT mengambil tindakan bijak apabila menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan secara bersemuka bagi pelajar dari kawasan zon merah akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, saranan tersebut bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga kampus.

Menurutnya, meskipun diputuskan pada saat-saat akhir sebelum tarikh pendaftaran yang dijadualkan Oktober ini namun ia perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan bersifat mementingkan diri.

"Keputusan kerajaan bertujuan menjamin keselamatan dan masyarakat terutama warga IPT. Perkara yang berkaitan dengan kecemasan dan keselamatan tidak boleh dibuat secara andaian terutama berkaitan pandemik Covid-19.

"Pendaftaran masih boleh dilakukan secara dalam talian. Saranan kerajaan adalah langkah bijak dan selamat untuk keseluruhan warga kampus berjumlah lebih 10,000 orang," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, ada IPT yang mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat penerbangan berhubung tiket penerbangan yang sudah dibeli oleh pelajar sebelum ini.

"Pihak penerbangan bersetuju membatalkan tiket tersebut dengan memberikan tiket terbuka untuk digunakan pada masa akan datang bagi destinasi yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!