Dialog ikonik 'Ini bukan Milah... Ini Milo'

No Image Caption
A
A
A

TIDAK ramai yang tahu bahawa Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor pernah menjadi juruhebah Radio Televisyen Sabah (RTM) selama setahun pada 1976.

Pada dekad berkenaan, juruhebah radio ialah selebriti setaraf penyanyi dan pelakon popular. Wajah dan aksinya tidak dapat dilihat tetapi suaranya membuatkan orang di bandar dan di desa jatuh hati dengannya.

Merak Jalanan masih ingat lirik lagu Headwind, Hanya Di Radio dan lagu Juruhebah Pujaanku nyanyian Noraliza Yusoff.

Begitulah hebatnya populariti juruhebah radio suatu masa dahulu sehinggakan kisah mereka diabadikan dalam lagu-lagu.

Bercakap tentang juruhebah radio, mungkin ramai yang tidak sedar bekas pelakon dan penyampai berita RTM, Wan Chik Daud yang meninggal dunia beberapa hari lalu juga bermula sebagai juruhebah radio.

Bagaimanapun, Allahyarham lebih diingati sebagai pelakon dalam filem Do Re Mi dan Nasib Do Re Mi. Dialog seperti “Ini bukan Milah...Ini Milo” terus segar sehingga hari ini.

Wan Chik Daud atau nama sebenarnya Wan Chik Othman dilahirkan pada tahun 1940 di Alor Merah, Alor Setar, Kedah.

Beliau pernah menjadi Ratu Kebaya di Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyertai RTM.

Artikel Berkaitan:

Beliau meninggal dunia pada usia 80 tahun di Kuala Lumpur Ahad lalu akibat pelbagai komplikasi penyakit termasuk kanser payudara.

Kedua-dua filem Do Re Mi itu adalah yang pertama dan terakhir Wan Chik berlakon di bawah arahan Tan Sri P Ramlee. Filem itu jugalah yang melonjakkan namanya.

Walaupun Wan Chik dan seniman sezaman dengannya sudah tiada, Merak Jalanan percaya dialog-dialog ikonik mereka masih mampu membuatkan kita terhibur bila terkenangkan zaman itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!