Rasuah: Dua polis dipenjara 50 dan 47 bulan

Kedua-dua tertuduh juga masing-masing didenda RM30,000 atau penjara 24 bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Kedua-dua tertuduh juga masing-masing didenda RM30,000 atau penjara 24 bulan, sekiranya gagal membayar denda.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua polis masing-masing dipenjara 50 dan 47 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memperoleh dan meminta suapan wang tunai RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap operasi sebuah rumah urut, dua tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan Sherman Salleh, 43, dan Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan.

Kedua-dua tertuduh juga masing-masing didenda RM30,000 atau penjara 24 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan meminta suapan, Sherman dan Faizal yang didakwa bersama-sama dihukum penjara 30 bulan dan denda RM15,000 atau penjara 12 bulan manakala bagi pertuduhan memperoleh suapan mereka yang didakwa secara berasingan masing-masing dihukum penjara 50 dan 47 bulan serta denda RM15,000 setiap seorang atau penjara 12 bulan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini, bagaimanapun, mahkamah membenarkan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara namun denda perlu dijelaskan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan oleh tertuduh.

"Hukuman adalah sebagai pengajaran kepada tertuduh dan amaran kepada masyarakat agar tidak melakukan rasuah dan seterusnya mencegah rasuah daripada berlaku. Sekiranya, kesalahan rasuah ini dibiarkan akan mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat," katanya.

Peguam Aliff Bolkin mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman minima dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya serta mereka juga menanggung keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Sherman yang bekerja sebagai anggota polis selama 20 tahun, mula berkhidmat sebagai Ketua Balai Polis Setapak selama setahun dari tahun 2018 sehingga 2019. Isterinya suri rumah dan mempunyai dua anak yang masing-masing berumur empat dan dua tahun.

"Faizal Miza pula bekerja sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Setapak dan telah berkhidmat selama 16 tahun. Dia juga menanggung ibunya yang sudah tua di kampung," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Sherman dan Faizal Miza didakwa secara bersama meminta suapan wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Gilbert Juin anak Damu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Angel Massage Centre yang dimiliki oleh Redantzkl Enterprise.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Restoran Hayaki Kopitiam, 87-G, Jalan Langkawi, Platinum Walk, Setapak antara 8 malam hingga 10 malam pada 27 November 2018 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua Sherman dan Faizal Miza masing-masing didakwa sebagai Penolong Penguasa Polis yang bertugas di Balai Polis Setapak dan Lans Koperal di balai sama telah secara rasuah memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap premis sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Dobi Speedy Wash dan Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus di Setapak pada 3 Disember 2018 antara 9 malam dan 10 malam dan 11 Jan 2019 antara 11 malam dan 12 malam mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Sepanjang perbicaraan, seramai 21 saksi pendakwaan telah dipanggil dan hanya dua saksi pembelaan iaitu dua tertuduh itu memberi keterangan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!