Jangan ada campur tangan!

Zolkples Embong
Zolkples Embong
A
A
A

SETIAP pasukan Liga Malaysia (Liga-M) harus tampil lebih profesional selepas masing-masing selesai melengkapkan proses penswastaan sepertimana yang diarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang tarikh akhir hari ini.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, seharusnya persatuan bola sepak (FA) tidak boleh lagi campur tangan dalam setiap urusan dan membiarkan pemilik baharu membuat segala keputusan berkaitan kelab.

“Contoh terdekat yang berlaku kita boleh tengok apabila pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman mengadu ada lagi campur tangan yang tidak perlu ketika beliau mengendalikan kelab tersebut. Sepatutnya tidak berlaku begitulah.

“Sebab itu arahan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ketika ini mewajibkan tukar status daripada FA ke kelab bola sepak (FC) supaya dapat kurangkan kebergantungan kepada FA sebab nampak FA ini tidak boleh uruskan dengan baik," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, apabila sudah serahkan kepada pemilik baharu seperti Kelantan, maka seharusnya serahkan sepenuhnya.

"Saya difahamkan pada peringkat awal ini, ia tidak lagi diserahkan sepenuhnya disebabkan ada tugas yang FA kena bantu FC.

“Tetapi janganlah sampai mengganggu dan campur tangan dalam urusan membuat keputusan penting yang sepatutnya dibuat oleh pemilik kelab,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, FAM menetapkan 30 September iaitu hari ini sebagai tarikh akhir untuk setiap pasukan melengkapkan proses penswastaan.

Difahamkan, kesemua pasukan sudah melengkapkan proses tersebut, namun status penswastaan itu dikhuatiri tidak akan mencapai matlamatnya dengan setiap pasukan itu dilihat masih mempunyai kaitan dengan pengurusan lama yang bernaung di bawah FA.

Artikel Berkaitan:

Zolkples berkata, jika situasi itu terus berlaku, ia secara tidak langsung bermakna usaha FAM untuk melakukan penswastaan itu hanya akan menjadi sia-sia.

“Kalau masih lagi nak kawal dan tak nak lepas, tak ke mana bola sepak kita ini. Masih di takuk lama. Mentaliti pegawai persatuan ini (FA) perlu diubah jika kita tidak mahu industri bola sepak kita tutup kedai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!