'Janji Mau Pulaih' mahu pecah rekod

Mohd Asmirul (tiga kiri) menerima cenderahati dari Mohd Zaki semasa pelancaran program tersebut di Hotel Tabung Haji, Alor Setar.
Mohd Asmirul (tiga kiri) menerima cenderahati dari Mohd Zaki semasa pelancaran program tersebut di Hotel Tabung Haji, Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah International Bike Week 2019 yang bakal berlangsung 22 Mac hingga 24 Mac depan di Taman Jubli Emas, dekat sini meletakkan sasaran menarik penyertaan sehingga 100,000 buah motosikal dari Malaysia, Singapura dan Thailand.

Bertemakan 'Janji Mau Pulaih', program tersebut meletakkan sasaran memecahkan rekod perhimpunan 50,000 buah motorsikal yang dicipta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Exco Pelancongan dan Seni Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, program tersebut merupakan acara sukan bermotor yang pertama kali diadakan secara besar-besaran di Bandaraya Alor Setar.

"Program ini dijangka merekodkan kehadiran motosikal paling tinggi dari pelbagai jenis dan bakal dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record.

"Sebagai sebuah negeri bersempadan dengan Thailand, ia berpontensi besar menarik 'bikers' dan pengunjung-pengunjung dari negera tersebut dan juga dari Singapura," katanya pada Program Sidang Media Kedah International Bike Week 2019 di Hotel Tabung Haji, dekat sini, hari ini.

Mohd Asmirul berkata, pelbagai pihak turut memberi kerjasama yang baik malah bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pelancongan sukan di negeri Kedah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Stylo Republic Sdn Bhd, Mohd Zaki Salleh berkata, pihaknya yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan penganjuran tersebut.

"Satu jelajah bermula 6 hingga 10 Februari ke seluruh negara bermula di Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lebih 100 penunggang motosikal akan terlibat secara langsung dalam siri jelajah tersebut yang akan berakhir di Perak.

Tambahnya, bagi peniaga dan usahawan, ini adalah satu peluang bagi mengembangkan perniagaan serta jenama menerusi pakej perniagaan atau pakej penajaan yang telah disediakan kerana acara ini bakal menarik pengunjung serta pelancong serantau.

"Jenama ini bakal dilihat oleh lebih 5 juta orang di seluruh Malaysia, Thailand dan Singapura melalui sebaran media," katanya.

Mohd Zaki berkata, bagi menjadikan penganjurannya menjadi satu fenomena, pengunjung bertuah bakal memenangi beberapa buah motosikal Yamaha Y15 dan pelbagai hadiah menarik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!