Jurutenik gagalkan cubaan samun depan bank

Video kejadian itu berjaya merakam suspek yang sedang melarikan diri ke arah belakang bank di Batu Gajah. Foto: ihsan PDRM
Video kejadian itu berjaya merakam suspek yang sedang melarikan diri ke arah belakang bank di Batu Gajah. Foto: ihsan PDRM
A
A
A

BATU GAJAH - Tindakan berani seorang juruteknik menyelamat wang berjumlah RM200,000 dengan terus memasuki van keselamatan menyebabkan seorang penjenayah ‘berputih mata’ dalam kejadian samun di hadapan sebuah bank di sini hari ini.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa diringi rakannya yang memegang ‘pump gun’ telah selesai melakukan kerja-kerja memasuk dan mengutip wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin pendeposit wang (CDM) di premis tersebut.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua mangsa dihampiri suspek yang mengacukan objek menyerupai pistol ketika mereka sedang menuju ke arah van keselamatan di luar premis tersebut.

“Mangsa membawa beg yang mengandungi wang terlihat suspek memegang rakannya itu dengan mengacukan objek hitam ke bahagian dada.

“Suspek kemudiannya menjerit mahukan wang tetapi mangsa enggan menyerahkannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya menyelamatkan kesemua wang tersebut dengan meluru masuk ke dalam van ketika suspek sedang menolak rakannya ke arah pintu bank.

“Selepas mangsa berjaya masuk ke dalam van bersama beg yang mengandungi semua wang tersebut, suspek yang panik terus melarikan diri ke arah belakang bank.

“Ketika kejadian, suspek yang mempunyai ketinggian 5 kaki 7 inci itu memakai pelitup muka warna biru, memakai jaket serta baju warna hitam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Adnan berkata, tiada kerugian dan kecederaan yang dialami mangsa.

“Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas sedang dikesan.

“Usaha mengesan suspek sedang diteruskan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video kejadian itu tular di media sosial dipercayai dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!