Berbaloikah meminjam untuk melabur?
Ramai antara kita yang meminjam untuk melabur. Ada yang meminjam untuk melabur dalam pasaran hartanah, untuk berniaga, menyertai pasaran saham atau melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Mereka yang meminjam untuk melabur ini menggunakan konsep leveraj atau menggunakan wang orang lain untuk menjana keuntungan kerana tidak memiliki modal yang cukup untuk melabur.
Contoh meminjam untuk melabur ialah apabila anda membeli rumah untuk tujuan pelaburan dan mengharapkan harga rumah berkenaan akan meningkat pada masa depan.
Bagaimanapun, antara kesilapan yang sering dilakukan ialah mengharapkan pulangan semata-mata untuk untuk membiayai ansuran bulanan.
Sebagai contoh, anda mengharapkan sewa untuk membayar ansuran bulanan. Kaedah ini mendedahkan anda kepada risiko kehilangan rumah kerana anda mungkin tidak mampu melunaskan ansuran bulanan sekiranya tiada penyewa atau sewa yang dikenakan lebih rendah berbanding ansuran bulanan.
Oleh itu, apabila meminjam untuk melabur, nilailah kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan gaji sendiri, bukan mengharapkan pulangan sahaja.
Tidak kiralah untuk membeli rumah, berniaga atau melabur dalam ASB, syarat paling penting ialah kemampuan membayar ansuran bulanan untuk jangka panjang.
Sekiranya mengambil Pembiayaan ASB ketika masih bujang, anda perlu menimbang kemampuan untuk membayar ansuran bulanan selepas berkeluarga kelak. Ini kerana ansuran bulanan adalah satu jumlah yang tetap sepanjang tempoh pinjaman.
Adalah lebih baik sekiranya mengambil pinjaman dalam jumlah yang kecil berdasarkan kemampuan supada anda tidak perlu bergantung kepada dividen untuk membayar ansuran bulanan, Sama sama seperti sewa, pulangan ASB juga tiada jaminan.
Pelabur yang mengeluarkan agihan pendapatan sama ada untuk membayar ansuran bulanan atau untuk tujuan lain yang tidak mendesak, sebenarnya terlepas peluang untuk menikmati kuasa kompaun.
Ini kerana konsep kuasa kompaun hanya berlaku jika dividen tidak dikeluarkan sepanjang tempoh pelaburan.
Apabila modal tidak berkembang, nilai pelaburan sebenarnya mengecil akibat inflasi dan anda sebenarnya hanya membayar faedah yang dikenakan bank.
Justeru, setiap kali anda ingin meminjam untuk melabur, ingatlah bahawa anda sebenarnya sedang membuat keputusan besar dalam kehidupan. Sebarang kesilapan dalam strategi akan menyebabkan anda menanggung kerugian lebih-lebih lagi jika pinjaman perlu ditamatkan sebelum satu tempoh tertentu.
Tidak kiralah sama ada pinjaman rumah atau ASB, buatlah pertimbangan pertimbangan sewajarnya dengan tidak hanya mendengar daripada pihak bank sahaja dalam membuat keputusan. Sebaliknya dapatkanlah nasihat daripada mereka yang pakar dan lebih berpengalaman untuk membuat keputusan bijak.
Untuk maklumat lanjut sila klik pautan www.asnb.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!