Letak semua beban pada guru tak adil
SEREMBAN - Meletakkan beban pemantauan pelajar selepas waktu persekolahan kepada guru semata-mata bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan wabak Covid-19 terus dipatuhi adalah tidak adil.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, ibu bapa harus memainkan peranan sama seperti garis panduan pembukaan semula sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).
"Tindakan menyalahkan guru semata-mata bukan jawapan kepada isu yang timbul sebaliknya ia memerlukan sokongan semua pihak termasuk masyarakat setempat.
"Bagi iGuru, tiada maknanya para guru bertungkus lumus mendidik pelajar agar mengikut SOP semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetapi apabila mereka keluar dari pintu sekolah mereka bebas dan melanggar SOP yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada guru yang tidak dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik, namun meletakkan beban memantau pelajar kepada guru selepas waktu persekolahan akan menambahkan tekanan dan bebanan warga pendidik.
ARTIKEL BERKAITAN: Di mana tanggungjawab ibu bapa selepas waktu sekolah?
Menurutnya, tindakan sebahagian guru membuat pemantauan ke atas pelajar di luar kawasan sekolah adalah lebih kepada tanggungjawab sosial di luar waktu kerja.
"Sepatutnya ibu bapa khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membantu pihak sekolah memantau anak-anak mereka ketika tamat waktu persekolahan.
"Sikap saling bantu membantu antara ibu bapa dan pihak sekolah akan dapat menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar daripada dijangkiti wabak Covid-19," katanya.
Katanya, warga pendidik juga merupakan kelompok barisan hadapan yang penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar dari awal sesi PdP sehingga berakhir.
Terdahulu tular di media sosial surat pembaca ditulis seorang wanita dalam sebuah akhbar yang mempersoalkan tugas guru untuk memantau pelajar selepas waktu persekolahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!