PH cemas, jangan gula-gulakan rakyat
KUANTAN - "Jangan gula-gulakan rakyat untuk menang di PRK Dun Semenyih," kata Exco Pemuda Umno, Muhammad Faiz Hashim.
Menurutnya, PH tidak sewajarnya menabur janji palsu pada PRK kali ini memandangkan mereka gagal menunaikan menifesto pada PRU14.
Katanya, rakyat sudah bijak menilai dan sudah cukup tertekan dengan corak pemerintahan PH yang semuanya boleh dikatakan meningkat.
"Sebab itu rakyat menyokong BN pada PRK Cameron Highlands lalu kerana mereka (rakyat) tertekan dalam pelbagai sudut termasuk janji yang ditaburkan oleh PH.
"Jadi sokongan itu beralih kepada BN... saya yakin dan percaya rakyat sudah semakin bijak menilai dan memilih parti mana yang boleh membela mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Semalam, Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim mahu PH mempertimbangkan beberapa janji dalam mempertahankan kerusi terbabit.
Rais meramal sifat mungkir janji penyebab rakyat tidak memilih PH pada PRK di Cameron Highlands dan beliau turut mencadangkan agar tutup satu tol dan mengurangkan harga minyak.
Muhammad Faiz memberitahu, PH kini cemas dan takut dengan kekalahan pada PRK Cameron Highlands berulang kembali di Dun Semenyih.
Jelasnya, sekiranya PH masih tidak berubah, tidak mustahil parti blok gabungan itu kehilangan kerusi terbabit.
“Sokongan rakyat ini boleh beralih kepada pihak lain sebenarnya, kalau ini terjadi ia menguntungkan BN,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!