'Negara haram Israel sendiri telah mempolitikkan sukan di Palestin'

Ahmad-Azam-Abd-Rahman
Ahmad-Azam-Abd-Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) sokong pendirian kerajaan yang menolak kemasukan dua atlet Israel ke negara ini bagi mengambil bahagian dalam acara renang Paralimpik di Sarawak.

Presidennya, Ahmad Azam Abd Rahman berkata, negara haram Israel telah kesekian kali menunjukkan sikap tidak menghiraukan kemanusiaan dan juga nilai peradaban manusia.

Justeru katanya, tindakan kerajaan adalah tepat pada masanya, bagi menggambarkan Malaysia membantah perilaku Israel tersebut menerusi tindakan menyekat kemasukan atlet mereka ke tanah air.

"Jika kita tidak mengendahkan malah hanya mengetepikan semua pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran kedaulatan undang-undang yang berlaku depan mata serta sedang masih berterusan, maka apakah kedudukan kita sebagai negara yang bermaruah dan bermoral?.

"Kita bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik. Kita hanya mengutuk keras tingkah laku yang tidak berperikemanusiaan dan kezaliman tidak kira siapa pelakunya. Tindakan kerajaan adalah yang paling kecil yang mampu kita lakukan. Israel sepatutnya telah lama dihukum kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan memang patut dilayani sedemikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia sebelum ini tetap dengan pendirian untuk tidak menerima penyertaan atlet Israel dalam kejohanan sukan antarabangsa yang dianjurkan di negara ini, biarpun telah dilucutkan hak penganjuran oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) .

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusannya atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

Terdahulu, IPC pada Ahad lalu memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.

Ia susulan Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Dalam Negeri gagal memberi jaminan diperlukan perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Mengulas lanjut katanya, banyak negara-negara Barat dengan mudah sahaja mengharamkan kemasukan pelarian semata-mata kerana kelainan warna dan agama. Tiada kesan balas dunia ke atas mereka.

"Israel sendiri telah mempolitikkan sukan dengan mengharamkan pasukan bola sepak Gaza dari menyeberang ke Tebing Barat untuk pertandingan Piala Bola Sepak Palestin.

"Israel secara haram dan berterusan menyekat pergerakan para atlet Palestin. Israel telah memaksa Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan Amerika Syarikat (NBA) agar tidak melawat Palestin pada tahun 2018," katanya.

Menurutnya, badan-badan sukan sedunia dan masyarakat antarabagsa amnya perlu ingat serta mengenang bagaimana kita telah berdiri teguh serta berjuang bersama-sama melawan ‘Apartheid’ dan bagaimana Afrika Selatan telah diharamkan daripada penyertaan sukan Olimpik sehinggalah negara itu dibebaskan.

"Israel pasti berhadapan dengan hari perhitungannya jika lebih banyak negara-negara bangkit dan bertindak demi kebenaran dan keadilan.

"Wadah tetap teguh bersama-sama perjuangan kebebasan, kehormatan dan kemuliaan martabat keinsanan. Kita tidak akan rela dihina atau dicela oleh badan-badan dunia yang sengaja menanam kepala mereka di bawah pasir kerana bacul dan takut menangani penindasan kejam serta terlalu lemah longlai hingga tidak mampu melakukan apa-apa demi keadilan dan kemanusiaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!