M Daud Kilau mohon doakan dirinya sihat

Mohd Akmal ketika mengunjungi M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk hari ini.
Mohd Akmal ketika mengunjungi M Daud Kilau di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk hari ini.
A
A
A

BAGAN DATUK - "Doakan saya lekas baik, kalau tak baik juga pun tak mengapa, doakanlah saya selamat pergi dan sedekahkah al-Fatihah."

Itu permintaan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 82, selepas keadaan kesihatannya semakin terjejas akibat uzur.

M Daud Kilau
M Daud Kilau

Beliau berkata, selepas hampir empat tahun mengalami masalah kesihatan, dia kini tidak mampu berdiri lama dan lebih banyak menghabiskan masa dengan terbaring di atas katil.

Menurutnya, selain menderita kencing manis sejak berpuluh tahun lalu, beliau juga menghidap masalah jantung tidak stabil, tangan kaki selalu kebas dan kurang pendengaran.

"Saya sekarang banyak bergantung kepada ubat-ubatan tetapi tak mengapa saya serah diri kepada ALLAH yang memberikan penyakit dan yang menyembuhkan penyakit.

"Saya sekarang ini pun banyak menghabiskan masa dan sisa hidup dengan mencari saham akhirat, duduk di rumah sambil tengok televisyen," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Exco Agama dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh di sini hari ini.

Beliau kini dijaga oleh isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, bersama dua anaknya dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan tiga bulan sekali di Klinik Kesihatan Bagan Datuk di sini.

Artikel Berkaitan:

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu turut mengakui rindu untuk bertemu dengan peminat.

Katanya, sehingga kini beliau masih menerima undangan untuk membuat persembahan sama ada di radio mahupun televisyen, namun terpaksa ditolak kerana masalah kesihatan.

"Insya-ALLAH kalau kesihatan saya baik saya akan bertemu dengan mereka. Saya masih rindu dan sayang peminat-peminat saya, begitu juga dengan rakan-rakan pemberita serta baju-baju labuci yang saya pernah pakai dahulu," katanya.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri melalui Baitulmal akan menyalurkan bentuk bantuan yang bersesuaian kepada penyanyi veteran itu.

Katanya, sumbangan M Daud Kilau dalam industri tanah air sangat besar, justeru keadaan kesihatannya kini yang uzur dengan pelbagai penyakit adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

"Kunjungan kita hari ini tidak lain untuk melihat sendiri keadaan penyanyi lagenda ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri.

"Sumbangan awal berupa wang dan barangan keperluan telah disampaikan dan ia disusuli dengan bantuan daripada Baitulmal yang akan menyemak bantuan-bantuan lain diperlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!