Darulaman FC nama baharu Kedah FA

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) pada sidang akhbar Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

KEDAH FA bakal dijenamakan kepada Darulaman Football Club (DFC) pada musim depan susulan langkah penswastaan diambil pasukan itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa perubahan dilaksanakan untuk penjenamaan semula sebagai kelab bola sepak tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya tidak mahu Kedah FA dijenamakan kepada Kedah Football Club (KFC) sekali gus berhasrat menjenamakan kepada DFC.

"Kedah FA kita akan tukar namun bukan KFC sebab tidak mahu jadi ayam goreng, kita pilih Darulaman Football Club (DFC).

"Ada beberapa perkara masih sama, misalnya warna hijau kuning dan lagu sorakan, namun pasukan bola sepak Kedah akan memiliki logo baharu selari dengan penjenamaan semula kepada kelab bola sepak DFC," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kata Muhammad Sanusi, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mendedahkan logo baharu DFC kepada orang awam, bagaimanapun ia akan diperkenalkan kepada mereka pada satu tarikh nanti.

Muhammad Sanusi berkata lagi, dia yang memilih sendiri logo baharu berkenaan dan setiap objek memiliki makna tersendiri.

"Antaranya, kita pilih padi dan hijau kuning yang sinonim dengan Kedah, malah ada juga warna merah yang melambangkan semangat selain perisai, bintang dan bola sepak digabungkan pada logo baharu itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses transformasi turut dilakukan ke atas gelaran pasukan berkenaan, yang mana selepas ini pasukan bola sepak Kedah tidak akan dikenali lagi sebagai Lang Merah.

Menurutnya, pihaknya masih mengalu-alukan mana-mana syarikat berminat sebagai penaja pasukan berkenaan dan ada yang telah membuat temu janji untuk bertemu demi membincangkan perkara itu.

"Berhubung sebuah syarikat yang berminat sebelum ini, dia belum memberi perkara diperlukan dan kita masih menunggu pihak berkenaan membuktikan keupayaan kewangan dimiliki mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!