500,000 mohon bantuan bayaran balik pinjaman: BNM
KUALA LUMPUR - Industri perbankan telah menerima kira-kira 500,000 permohonan bantuan bayaran balik pinjaman dan meluluskan 98 peratus daripadanya, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, bank-bank berkenaan juga secara berasingan telah bertindak menghubungi lebih dua juta peminjam menerusi telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas untuk menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman berikutan berakhirnya moratorium secara automatik pada hari ini.
"Bagi permohonan yang masih diproses, bank-bank terbabit telah memberi komitmen untuk memaklumkan keputusan permohonan tersebut dengan secepat mungkin," kata BNM.
Pada masa sama, BNM turut memberi jaminan untuk memantau rapi amalan bank-bank dalam perkara tersebut dan peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnmtelelink@bnm.gov.my.
Selain itu, jumlah peminjam yang memilih untuk menyambung semula bayaran ansuran bulanan masing-masing juga didapati terus meningkat.
Malah, BNM turut menasihati peminjam yang mampu menyambung semula bayaran balik pinjaman bulanan agar terus berbuat demikian kerana ini dapat mengurangkan kos hutang dan pinjaman mereka secara keseluruhan.
"Meskipun keadaan ekonomi secara amnya bertambah baik, sesetengah peminjam mungkin menghadapi cabaran membuat bayaran balik pinjaman jika keadaan mereka sebaliknya berubah pada bulan-bulan akan datang. Sekiranya ini berlaku, peminjam masih boleh berurusan dengan bank untuk berbincang mengenai pengaturan bayaran balik pinjaman," katanya.
Menurutnya, semasa tempoh tersebut, institusi perbankan akan terus menawarkan pelbagai bentuk bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam.
BNM juga memberi jaminan bahawa permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun, 2021, tidak akan dipaparkan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam.
Selain itu, peminjam juga boleh mendapatkan panduan dan pilihan bantuan alternatif daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Bank pusat itu berkata, industri perbankan juga telah bertindak aktif dan terus komited membantu isi rumah dan perniagaan yang memerlukan bantuan susulan berakhirnya kemudahan moratorium itu.
Bank-bank terbabit juga memperkenalkan pelbagai pakej untuk membantu peminjam terjejas termasuk lanjutan moratorium secara bersasar serta fleksibiliti bayaran balik pinjaman bagi membantu peminjam berdasarkan keadaan kewangan mereka.
Menurut BNM, sesi ini termasuk kempen bantuan pembayaran balik pinjaman di seluruh negara serta perbincangan dan interaksi secara langsung dengan pelbagai kumpulan berkepentingan termasuk persatuan-persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Bagi melancarkan proses permohonan ini, institusi perbankan telah memudahkan langkah permohonan seperti membolehkan permohonan secara dalam talian dan melanjutkan waktu urusan cawangan bank (termasuk hujung minggu)," kata BNM.
Menurut bank pusat itu, pendekatan bersasar ini akan memastikan lebih banyak sumber tersedia untuk membantu mereka yang mudah terjejas selain membolehkan sektor perbankan menyokong ekonomi secara lebih meluas menerusi pemberian pinjaman yang berterusan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!