Pengarah syarikat pandu melulu dijel 2 tahun, denda RM7,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat dipenjara dua tahun dan didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi, dua tahun lepas.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas Yee Kin Sum, 29, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Kin Sum dipenjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut serta lesen memandunya digantung selama tiga tahun dan butiran kesalahan diendors pada lesen.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan esok bagi mendengar permohonan Kin Sum untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta secara melulu dan menyebabkan kematian penumpang dalam lain kereta lain, Juhan Sabturani, 36, di Kilometer 10.7 Lebuhraya MEX di sini pada jam 3.30 pagi, 7 Julai 2018.

Kin Sum didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Kitson Foong memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

"Selain itu, kemalangan tersebut juga menyebabkan tertuduh mengalami kecederaan di bahagian kaki," kata peguam itu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman penjara maksimum kerana kesalahan itu menyebabkan kematian seorang penumpang kereta dan kecederaan kepada mangsa-mangsa lain.

"Selain itu, mohon mahkamah mengambil kira kes-kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat. Pemandu (tertuduh) seperti ini harus dijauhkan daripada jalan raya selama yang mungkin.

"Mesej yang jelas juga harus diberikan kepada tertuduh dan orang awam bahawa memandu secara melulu di jalan raya adalah tergolong kepada satu perbuatan jenayah. Mohon hukuman maksimum di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret dikenakan ke atas tertuduh," katanya.

Semasa perbicaraan kes itu yang bermula pada 2019, sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan.

Pada 7 Julai 2018, media melaporkan seorang lelaki yang berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tiga individu lain bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu secara melawan arus di lorong kanan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!