Sheikh Nawaf angkat sumpah sebagai Emir Kuwait baharu
KUWAIT CITY - Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah mengangkat sumpah di hadapan Majlis Nasional pada Rabu sebagai Emir Kuwait ke-16, lapor agensi berita Xinhua.
Perlembagaan menjamin peralihan kepemimpinan yang lancar untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran, kata Sheikh Nawaf.
Beliau juga berikrar akan melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin serta mengulangi komitmen terhadap perlembagaan dan demokrasi.
Sheikh Nawaf ditabalkan sebagai Emir Kuwait baharu berikutan kematian Syeikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, diumumkan kerajaan Kuwait pada Selasa petang setelah satu mesyuarat khas.
Sheikh Nawaf dilahirkan pada 25 Jun 1937, pernah berkhidmat sebagai menteri dalam negeri dari 1978 hingga 1988 dan kemudian dilantik sebagai menteri pertahanan.
Pada 16 Oktober 2003, dekri diraja dikeluarkan menamakan Sheikh Nawaf sebagai timbalan perdana menteri I dan menteri dalam negeri.
Pada 7 Februari 2006, beliau dinobatkan sebagai putera mahkota.
Allahyarham Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah meninggal dunia pada usia 91 pada Selasa.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!