Eky fokus bantu Perak rebut slot saingan Piala AFC 2021
PENDAHULU penjaring terbanyak Liga Super ketika ini, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tidak mahu terlalu memberikan fokus untuk menambah jaringan peribadinya, tetapi sebaliknya mahu memberikan tumpuan membantu Perak layak beraksi ke saingan Piala AFC 2021.
Menurut penyerang berusia 26 tahun itu, dia mahu memberikan fokus bagi mengharungi baki dua perlawanan CIMB Liga Super musim ini bagi memastikan skuad Kejor Yeop Skor itu layak ke saingan berprestij bola sepak Asia berkenaan.
“Memang saya telah lama mengimpikan untuk memenangi Anugerah Kasut Emas ini, tetapi saya akan lebih memberikan fokus untuk membantu kejayaan pasukan.
“Jika saya berjaya mengekalkan kedudukan selaku penjaring terbanyak dan memenangi kasut emas musim ini, saya anggap ia adalah bonus buat saya,” katanya.
Ketika ini Shahrel Fikri mengungguli senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan sembilan gol diikuti penyerang import Kedah, Tchetche Kipre, Dominique Da Sylva (TFC I), Ifedayo Olesegun (Selangor) dengan tujuh gol dan penyerang JDT, Gonzalo Cabrera (JDT) dengan enam gol.
Selain itu, skuad kendalian Mehmed Durakovic berkenaan bakal berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur 3 Oktober ini sebelum mengakhiri saingan liga musim ini melayan kunjungan Kedah di Stadium Perak pada 10 Oktober.
Perak kini berada pada kedudukan kedua CIMB Liga Super dengan 17 mata hasil lima kemenangan, dua seri dan tewas dua kali daripada sembilan perlawanan.
Sementara itu, Shahrel Fikri berharap rakan-rakan sepasukan tidak mudah leka bagi mengharungi dua perlawanan terakhir berkenaan kerana Pahang dan Kedah juga sudah pasti mahu mengakhiri saingan CIMB Liga Super musim ini dengan kejayaan.
Bagaimanapun, Shahrel Fikri percaya tahap keyakinan serta semangat rakan-rakan sepasukan kini cukup tinggi setelah memenangi tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.
“Selepas kalah besar 0-7 kepada JDT bulan lalu, kami berjaya bangkit untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut dengan menewaskan UiTM FC 1-0, PDRM (2-0) dan terbaharu Felda United (5-1).
“Oleh itu saya percaya kami akan dapat mengekalkan momentum kemenangan berkenaan setelah mengharungi pelbagai cabaran dari awal musim sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!