Cadangan nyahgazet hutan simpan Kuala Langat Utara dibantah

Shariffa Sabrina menyuarakan pandangan ketika sesi pendengaran awam di Amverton Resort Pulau Carey di Kuala Langat semalam.
Shariffa Sabrina menyuarakan pandangan ketika sesi pendengaran awam di Amverton Resort Pulau Carey di Kuala Langat semalam.
A
A
A

KUALA LANGAT - "Kenapa kerajaan negeri masih mahu meneruskan nyahgazet hutan simpan Kuala Langat Utara walaupun menerima bantahan awam?"

Itu persoalan dikemukakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pada sesi pendengaran awam pemansuhan hutan simpan seluas 971 hektar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor semalam.

Shariffa Sabrina berkata, beliau mewakili badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat membantah sekeras-kerasnya cadangan pembangunan ke atas kawasan tersebut.

"Tak perlu nyahwarta, simpan sahaja hutan itu, (hutan) kita sudah habis, pembangunan kita sudah berlebihan. Kita tak mahu pembangunan tapi kita mahu kawasan hijau.

"Jika kerajaan susah mahu jaga hutan, biar rakyat yang jaga," katanya pada sesi pendengaran awam yang dipengerusikan oleh Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian di Amverton Resort Pulau Carey dekat sini semalam.

Menurut Shariffa Sabrina, beliau mencadangkan agar hutan simpan itu dijadikan taman negeri dan meletakkan namanya sempena Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Katanya, keadaan hutan di Malaysia semakin tenat dengan paparan satelit menunjukkan kawasan hutan dalam negara hanya tinggal kurang 20 peratus.

"Saya dah masuk semua negeri dalam Malaysia, keadaan hutan sekarang dah semakin teruk. Lihat satelit hutan kita tak sampai 50 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak mahu hutan ditebang lagi tapi mahu pokok yang telah pupus ditanam semula dengan kerjasama pakar daripada Jabatan Perhutanan Negeri.

"Dengan keluasan hutan kurang 1,000 hektar ini, simpanlah sedikit untuk generasi akan datang. Kami sudah tak mahu pusat beli-belah atau kondominium. Semua dah cukup," katanya.

Menurutnya, hutan memainkan peranan penting dalam ekosistem bagi negara tropika seperti Malaysia.

"Dalam keadaan Selangor yang hadapi masalah kesusahan air ini kita perlukan hutan untuk mendapatkan hujan.

"Kami rakyat sudah tidak bodoh, jangan buli rakyat," katanya.

Februari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan yang kerajaan negeri bercadang memansuhkan hutan simpan itu yang telah menjadi hutan rosot dan tiada elemen hutan dara susulan siri kebakaran serta pencerobohan.

Bagaimanapun Amirudin berkata, cadangan itu masih di peringkat pramatang dan perlu melalui proses penilaian dan pandangan umum sebelum diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!