Pangkalan tentera China di Asia Tenggara?

No Image Caption
A
A
A

SEDANG kita disibukkan dengan perkembangan politik tanah air yang tidak kunjung reda pasca Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September lalu, terdapat laporan terkini di peringkat rantau Asia Tenggara yang tidak kurang kritikalnya yang perlu diberi perhatian.

Laporan tahunan terkini Pentagon mendedahkan bahawa China sedang mempertimbangkan untuk membina pangkalan tentera di lima negara Asia Tenggara: Kemboja, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Singapura.

Laporan Pentagon itu memperincikan bahawa terdapat tiga kemungkinan model logistik ketenteraan yang sedang dipertimbangkan Beijing saat ini. Model pertama ialah akses kepada infrastruktur komersial di seberang laut sepertimana kehadiran tentera China di Djibouti sejak tahun 2017.

Model kedua ialah kelengkapan logistik eksklusif buat tentera laut China dengan perkongsian lokasi infrastruktur komersial. Model ketiga ialah pangkalan tentera dengan penempatan tentera China.

Mengulas Laporan Tahunan Pentagon itu, sarjana Ian Storey dari Institut ISEAS-Yusuf Ishak melakukan penilaian ke atas kesemua negara Asia Tenggara tersebut bagi menentukan negara mana yang berkemungkinan besar menjadi lokasi pangkalan tentera China pertama di rantau ini.

Singapura sememangnya ada menandatangani perjanjian pertahanan dengan China pada Oktober 2019 yang menyentuh mengenai komitmen logistik ketenteraan antara kedua-dua negara – bagaimanapun, Singapura ialah sekutu paling rapat Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara dengan akses tentera AS di fasiliti komersial Singapura iaitu Dermaga Sembawang.

Berbeza dengan Indonesia yang dengan tegas menolak sebarang kemungkinan pembinaan pangkalan tentera China melalui penafian Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi.

Thailand pula sebaliknya berada dalam proses lonjakan hubungan ketenteraan dengan China. Bangkok bakal membina kelengkapan pengeluaran kereta kebal dan kenderaan lain yang dibeli dari China oleh tentera Thailand di negara mereka.

Artikel Berkaitan:

Namun, lokasi geografi Thailand yang relatifnya jauh dari Selat Melaka dan Laut China Selatan menjadikan Thailand kurang menarik berbanding negara Asia Tenggara yang lain

Sasaran

Realiti tersebut menjadikan dua negara lain sebagai sasaran yang lebih relevan sebagai lokasi pangkalan tentera China di Asia Tenggara: Myanmar dan Kemboja.

Terletak berhampiran di Laut Andaman, Myanmar menawarkan kawalan dari sebelah barat Selat Melaka – gerbang pintu masuk majoriti import tenaga ke China yang boleh digugat AS melalui sekutu Indo-Pasifiknya, India.

China juga melabur besar di Myanmar melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) seperti Pelabuhan Kyaukphyu. Namun, disebabkan sekatan perlembagaan Myanmar, Pelabuhan Kyaukphyu hanya berpotensi menjadi lokasi persinggahan sementera Tentera Laut China dan bukannya pangkalan tentera tetap.

Kemboja sebaliknya menjadi alternatif yang signifikan buat China. Terletak di barat Laut China Selatan, Kemboja bukan sahaja menawarkan lokasi kritikal buat akses China ke atas Kepulauan Paracels yang dituntutnya di Laut China Selatan, bahkan ia juga begitu hampir dengan Vietnam, negara pencabar utama China di Kepulauan Paracels.

Untuk rekod, meskipun kedua-dua negara berkongsi ideologi komunis, Vietnam dan China hari ini adalah musuh ketat di Laut China Selatan dan pernah berperang pada tahun 1974, 1979 dan 1988. Pada tahun lalu, AS mendedahkan bahawa Kemboja sudah bersetuju ‘secara rahsia’ untuk mengizinkan tentera China membina kelengkapan tentera di dua lokasi yang berpotensi.Jika dahulu Vietnam yang disokong Kesatuan Soviet berjaya menumbangkan rejim Pol Pot Kemboja yang disokong China, nampaknya hari ini sejarah bakal berulang; sekiranya Kemboja benar-benar mengizinkan China membina pangkalan tentera di negara mereka. Vietnam pastinya tidak akan berdiam diri.

Sebagai negara yang pernah menumbangkan tiga kuasa besar iaitu Perancis sewaktu Perang Indo China, AS sewaktu Perang Vietnam, dan China sewaktu era Deng Xiaoping, Vietnam hari ini jauh lebih maju. Bagaimana pula dengan kita?

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!