Tamat moratorium umpama bulan madu sudah berakhir
“MASA bulan madu dah habis, dah tak boleh berjoli sakan, sekarang masa bayar hutang bank.” Pada mulanya, Merak Jalanan tak dapat ‘tangkap’ apa yang cuba disampaikan sahabat Merak Jalanan.
Baru hendak buka mulut selepas dapat mengagak apa cerita sebenar, sahabat Merak Jalanan tadi terus bersuara: “Moratorium sudah habis bro, so sekarang kena hadap bank balik bayar segala bagai hutang-hutang.”
Rancak kami berbual tentang cerita moratorium ini di sebuah kedai makan di Bangi pagi semalam. Daripada hanya nak bersembang kosong sebab lama tak jumpa tapi tiba-tiba topik perbualan kami mula bertukar menjadi mood lebih serius.
Boleh dikatakan sahabat Merak Jalanan ini antara yang terkesan akibat Covid-19. Akibat penangan Covid-19, gajinya dipotong hampir 30 peratus. Lebih perit, isterinya pula terpaksa gulung tikar akibat bisnes ‘tak jalan’.
Cerita sahabat Merak Jalanan ini mungkin tidak banyak bezanya dengan cerita kebanyakan pihak di luar sana. Mungkin ada yang lebih terkesan teruk akibat Covid-19 yang kita sendiri tidak tahu bila akan berakhir.
Setidak-tidaknya tempoh enam bulan moratorium sebelum ini memberi sedikit kelegaan. Sudah tentu ada yang mampu menghela nafas lega kerana dapat menyambung moratorium (bersasar) sehingga hujung tahun ini.
Nasihat Merak Jalanan, apa sahaja yang berlaku dalam beberapa bulan mendatang, kita perlu merancang sebaik-baiknya perbelanjaan isi rumah - tidak kira yang sudah berkeluarga mahupun yang masih berstatus bujang.
Mungkin inilah masanya duit yang kita simpan dalam tempoh enam bulan sebelum ini digunakan - itu pun jika benar-benar dalam keadaan mendesak.
Paling penting utamakan keperluan, barulah kehendak. Harus diingat krisis pandemik Covid-19 ini masih belum ada titik noktahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!