PKPDB: Bandar Tawau lengang
TAWAU - Bandar Tawau kelihatan lengang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) yang memasuki hari kedua hari ini dengan bilangan kenderaan di jalan raya jauh berbeza berbanding hari-hari biasa.
Tinjauan Bernama mendapati hanya beberapa premis perniagaan penting beroperasi sehingga 6 petang dan ada penduduk yang ditemui menyifatkan suasana itu tidak jauh berbeza semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.
Seorang penduduk Bandar Sri Indah, Muhd Anuar Irwan, 31, berkata beliau memang terkejut dengan pelaksanaan PKPDB selama 14 hari itu namun positif bahawa ia dilaksanakan demi membendung penularan Covid-19 di daerah itu.
“Bila dapat tahu PKPDB dilaksanakan, memang risau tetapi ini untuk kebaikan semua. Keadaan di sini semuanya baik dan barang keperluan juga mencukupi dan setakat ini tiada pembelian panik dilakukan, hanya perlu mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya kepada Bernama.
Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPDB mulai 29 September hingga 12 Oktober di empat daerah iaitu Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu membabitkan 962,661 penduduk.
Dalam pada itu, seorang pekerja pasar raya di sini, Putli Kabungsuan Marajaw berkata, selepas pengumuman PKPDB itu, berlaku sedikit pembelian panik dalam kalangan penduduk, namun kembali normal sejak semalam.
“Pada Isnin lepas, kami sibuk dari siang sehingga malam sebab orang ramai keluar membeli barang keperluan, ada yang beranggapan pasar raya ditutup selama 14 hari," katanya dan menambah stok bekalan penting di premis itu mencukupi untuk tempoh 14 hari.
Selain itu, Jabatan Penerangan di sini turut aktif membuat hebahan maklumat berkaitan pematuhan SOP bagi mengelak jangkitan Covid-19 melalui program Info On Wheel menggunakan pembesar suara di kawasan bandar dan kampung.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata setakat ini tiada laporan berkaitan pelanggaran SOP direkodkan.
Di Lahad Datu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengesan 70 hotspot pendatang tanpa izin di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang perlu ditambah kawalan semasa tempoh PKPDB.
Komander ESSCom, Datuk Ahmad Fuad Othman ketika dihubungi berkata kawasan panas itu termasuk penempatan di pulau-pulau dan operasi mengesan dan menahan pendatang tanpa izin di kawasan itu sedang berjalan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia serta Pasukan Gerakan Am.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!