Ain Sufia nikah Jumaat ini
PELAKON dan pelawak, Ain Sufia bakal menamatkan zaman solo dan disatukan dengan lelaki pilihan, Mohd Nor Ab Mutalib, pada Jumaat depan, 1 Februari 2019.
Menurut Ain atau nama penuhnya Nurul Ain Othman, majlis resepsi pula akan diadakan sehari selepas majlis pernikahan iaitu pada Sabtu, di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
“Semakin dekat majlis berlangsung, semakin berdebar pula rasa. Walaupun semua persiapan telah siap dilakukan tapi kepala tetap fikir macam-macam juga.
“Harap dapat doakan majlis saya semuanya selamat dan berjalan dengan lancar sebagaimana yang dirancang,” ujar Ain.
Ain dan pasangannya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan mengikat tali pertunangan pada 15 September lalu dan merancang majlis perkahwinan pada penghujung Mac ini. Namun atas permintaan keluarga, tarikh dipercepatkan kepada Februari.
“Kalau ikutkan memang kami merancang nak buat majlis pada Mac depan. Tapi disebabkan beberapa ahli keluarga terikat dengan hal-hal yang tak dapat dielakkan pada ketika itu, mereka mencadangkan agar majlis diawalkan.
“Saya dan bakal suami menurut sahaja kerana kami pun kalau boleh nak semua orang ada ketika majlis ini nanti. Lagipun perkara baik, tak elok dilambat-lambatkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ain kini sedang berjinak-jinak dalam dunia penyiaran radio sejak seminggu lalu apabila diberi peluang oleh Suria FM untuk mengisi slot pagi bagi menggantikan salah seorang penyampainya, Issey yang sedang bercuti.
“Ramai yang ingat saya kini dah bertugas di Suria FM sebagai penyampai, tapi sebenarnya saya hanyalah dijemput untuk menggantikan Issey yang bercuti selama seminggu.
“Pengalaman tersebut sangat saya hargai kerana sejak dari sekolah saya pernah berangan dan bertugas di konti radio sebagai penyampai.
“Alhamdulillah dapat respon yang positif daripada pendengar dan ia sudah cukup menggembirakan saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!