Jangan mudah menyerah kalah Tambadau
“JANGAN mudah menyerah kalah,” itu pesanan Ketua Jurulatih Sabah Kurniawan Dwi Yulianto kepada pemainnya, menjelang aksi CIMB Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini.
Melihat pada keputusan dua perlawanan terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di mana skuad Harimau Selatan berkenduri gol ke atas pasukan gergasi seperti Perak (7-0) dan Selangor (6-1), senario itu pasti akan meresahkan mana-mana pasukan.
Namun, jurulatih berusia 44 tahun dari Indonesia itu yakin, anak buahnya mampu memberi tekanan kepada JDT seperti Petaling Jaya (PJ) City FC, yang mengikat juara enam kali itu 2-2 pada Jumaat lalu dan berbekalkan semangat tinggi selepas kemenangan 3-2 ke atas Melaka United pada Ahad lepas.
“Pertamanya kami sangat menghormati JDT sebagai juara bertahan dan pasukan yang paling kuat di Malaysia buat masa ini. Tetapi ia tidak bermakna kami menyerah kalah sebelum perlawanan lagi, kedudukan tetap 0-0 sebelum perlawanan.
“Pemain perlu kekal berdisiplin, fokus sepenuhnya pada perlawanan dan kurang melakukan kesilapan, kerana lawan akan memanfaatkan kesilapan kita. Kebanyakan gol yang kita bolos sebelum ini berpunca daripada kesilapan kita sendiri,” katanya hari ini.
Selain berdepan lawan yang kuat, skuad Tambadau juga mengharungi cabaran lain seperti pertukaran kepimpinan di kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), serta pandemik Covid-19 yang semakin meningkat, di negeri di Bawah Bayu itu.
Berikutan peningkatan kes Covid-19, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan semua individu yang tiba dari Sabah, wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), sehingga keputusan ujian mengesahkan mereka negatif.
Ia menyaksikan skuad kendalian Kurniawan yang berlepas ke Johor Bahru hari ini, terpaksa mengikuti HSO di hotel penginapan mereka sehingga keputusan ujian Covid-19 diperolehi.
“Keputusan ujian pertama ke atas semua pemain dan kakitangan pada kelmarin adalah negatif dan mudah-mudahan ujian kedua akan dilakukan hari ini juga negatif. Saya berharap keputusan diperolehi secepat mungkin, supaya kami boleh turun menjalani latihan pada petang esok...Sekiranya keputusan lambat, kita ada pelan B,” katanya.
JDT yang berada di puncak carta Liga Super dengan 23 mata, hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan ketujuh berturut-turut, apabila mempunyai kelebihan enam mata berbanding pasukan di tempat kedua, Perak (17) dengan berbaki hanya dua mata.
Sabah yang berada di tempat kesembilan dengan sembilan mata, masih belum terselamat dari zon penyingkiran, apabila hanya dipisahkan dua mata berbanding pasukan di kedudukan 11, Felda United (7) pasukan tercorot PDRM (-1).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!