SPRM fokus jenayah rasuah ekonomi
LEBIH lima dekad berjuang memerangi rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berusaha memantapkan kecekapan para pegawainya dalam menangani tugas pada masa hadapan.
Tumpuan kini diberikan kepada meningkatkan kemahiran pegawainya dalam pelbagai bidang termasuk teknologi forensik dan penyiasatan rasuah ekonomi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, ia juga menjadi program transformasi fasa kedua SPRM selepas fasa pertama yang dijalankan pada tahun 2011 hingga 2013 banyak membuahkan hasil dan perubahan menerusi kejayaan-kejayaan yang dicapai mereka sehingga kini.
Menurutnya, SPRM berusaha memastikan pegawai-pegawainya memperoleh pensijilan dari dalam dan luar negara.
“Kita turut mewujudkan Bahagian Analisa Kewangan untuk menjalankan forensik perakaunan kerana sekiranya menyiasat kes berbentuk jenayah ekonomi, analisis akaun yang lebih teliti perlu dilakukan.
“Dalam kes sebegini, sebelum ini kita banyak minta bantuan pihak luar namun sekarang kita sudah memiliki pegawai yang dilatih oleh pihak luar yang ternama.
“Mereka membuat analisis terhadap akaun-akaun yang disiasat. Peningkatan kemahiran mereka juga dibuat dari masa ke masa,” katanya dalam wawancara khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM di sini baru-baru ini.
Azam berkata, peningkatan kemahiran penyiasatan juga diberikan penekanan kerana kes-kes berprofil tinggi banyak melibatkan sektor korporat yang menuntut pegawai-pegawainya memahami isu-isu urus tadbir korporat.
Selain itu katanya, ke arah melahirkan pegawai-pegawai yang cekap dan unggul,
SPRM juga mengorak langkah melaksanakan projek rintis dengan memeterai perjanjian bersama Nottingham Trent University (NTU) United Kingdom untuk menyediakan tempat melanjutkan pengajian kepada pegawai-pegawainya bagi meningkatkan kelulusan akademik mereka.
“Menerusi persetujuan yang ditandatangani pada 2019 ini, kadet kami yang dilatih di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bagi Pegawai Siasatan Gred P41 yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Penolong Pegawai Siasatan
Gred P29 (Diploma) akan diiktiraf oleh NTU. Kerjasama ini akan memudahkan pegawai-pegawai kita melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dan sarjana yang lebih spesifik untuk bidang penguatkuasaan,” katanya.Modus operandi
Berkongsi mengenai cabaran yang terpaksa dilalui SPRM sehingga kini, Azam berkata, ketika ini modus operandi penjenayah yang melakukan rasuah semakin rumit dan ia mendorong SPRM meningkatkan kemahiran pegawai-pegawainya.
“Sebab itu saya sekarang selalu menggunakan perkataan bahawa rasuah ini adalah jenayah ekonomi. Apabila bercakap mengenai jenayah ekonomi, mereka yang terlibat rasuah ini akan selalunya memikirkan bagaimana nak mengatasi undang-undang.
“Sebab itu dalam menangani rasuah sekarang, kita perlu membuat pengesanan yang lebih dalam. Sekarang ini mungkin kita boleh nampak kehidupan seseorang itu mewah tidak seperti pendapatan yang diperoleh kerana wujudnya rasuah tetapi undang-undang mahu pihak kami membuktikan dari mana punca rasuah itu berlaku dan di mana wang. Ini memerlukan kemahiran tinggi pada pegawai kita,” katanya.
Tambahnya, satu lagi cabaran yang perlu dihadapi adalah mewujudkan kaedah penyimpanan wang yang transaksinya berbentuk digital di mana situasi itu telah mula berleluasa, sekali gus menuntut pihaknya untuk bijak menanganinya.
Ketirisan
Sementara itu, ditanya mengenai hala tuju SPRM pada masa ini dan masa akan datang, Azam yang menerajui suruhanjaya itu sejak Mac lalu berkata, pihaknya mahu menjana ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dana kerajaan seminimum mungkin.
Katanya, tiga sektor rasuah yang menjadi tumpuan pihaknya adalah dari segi rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption melibatkan peringkat tertinggi atau berprofil tinggi.
“Fokus kami agar negara tidak hilang dana yang banyak akibat berlakunya ketirisan. Namun ini tidak membawa maksud yang kes-kes lain tidak diutamakan. Fokus buat masa ini adalah berkaitan dengan rasuah jenayah ekonomi.
“Kami mahu ahli pentadbiran, penjawat awam dan masyarakat peniaga menyedari perkara ini dan bersama-sama dengan SPRM dalam mencegah rasuah. Pelaksanaan peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 diberikan tumpuan untuk mewujudkan suasana perniagaan yang bersih dan bebas rasuah,” katanya.
Azam berkata, rasuah yang berleluasa boleh mengakibatkan ekonomi negara hancur lebur dengan kos perolehan meningkat dan menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.
“Contohnya, akibat tidak mengambil tindakan penguatkuasaan atau kes-kes yang melibatkan rasuah perolehan, kos asalnya meningkat tinggi akibat rasuah, mungkin naik lebih daripada 20 peratus.
“Rasuah juga menyebabkan masalah sosiobudaya dalam masyarakat contohnya rasuah yang melibatkan pihak penguatkuasa. Jika mereka memberi perlindungan kepada pihak-pihak tertentu walaupun ia tidak menjatuhkan ekonomi tetapi menyebabkan sosiobudaya masyarakat terjejas seperti kes perlindungan judi haram dan sebagainya,” katanya.
Perlindungan
Azam berkata, dalam usaha menggalakkan masyarakat untuk terus memberikan kerjasama dalam memerangi rasuah, SPRMmenjadi agensi penguatkuasaan peneraju yang melindungi pemberi maklumat menerusi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“Kami dan banyak lagi agensi penguatkuasa negara luar sedar bahawa kalau kita ingin mendapatkan pengadu terus membuat aduan itu amat susah. Peratusannya terlalu kecil kerana masalah dari segi tindak balas yang mungkin akan timbul terutamanya melibatkan mereka yang terlibat dengan perniagaan dan sebagainya.
“Justeru menerusi akta ini, pemberi maklumat itu dilindungi. SPRM dalam hal ini melindungi pemberi maklumat. Banyak pemberi maklumat yang memberikan kerjasama kepada kami di mana kes-kes yang kita buka kertas siasatan adalah daripada pemberi maklumat itu,” katanya.
Jelasnya, dalam tempoh lima tahun iaitu sejak tahun 2016 hingga 2020, seramai 231 pemberi maklumat diberikan perlindungan.
Menyentuh mengenai misi untuk mewujudkan sifar rasuah dalam masyarakat beliau berkata, perkara itu tidak mustahil dan apa yang paling penting, tugas mencegah perilaku rasuah perlu bermula di peringkat petugas barisan hadapan terutama di pintu masuk negara.
“Dari segi strategi nak sifarkan rasuah ini, elok betulkan petugas barisan hadapan kita terutamanya yang berurusan dengan mereka yang datang dari luar negara dan masuk ke negara ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!