Wanita baru habis pantang positif dadah
SUNGAI PETANI - Seorang wanita yang baru habis tempoh berpantang ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda akibat positif dadah.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Keladi di sini semalam.
Menurutnya, ibu kepada tiga anak berusia antara lima hingga 10 tahun itu turut kehilangan bayinya yang meninggal dunia ketika berusia 17 hari.
"Kita kesan suaminya juga pernah terlibat dalam penagihan dadah dan baru dibebaskan dari penjara.
"Dia tinggal bersama suami dan kakak iparnya di rumah yang sama," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Dalam operasi bermula 9 pagi hingga 10.30 malam tadi, seramai 17 individu yang kesemuanya berusia antara 20 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan ke 16 kawasan hotspot sekitar daerah.
Hasil saringan mendapati, seramai 14 individu positif dadah jenis methamphetamine, dua positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, manakala seorang lagi positif ganja.
Siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!