Manuel Neuer tabik Joshua Kimmich
PENJAGA gol Bayern Munich, Manuel Neuer memuji rakan sepasukannya, Joshua Kimmich ekoran gol 'unik' menggunakan perut pada aksi Piala Super Jerman yang sekali gus mengesahkan kemenangan 3-2 gergasi Bundesliga itu ke atas Borussia Dortmund di Allianz Arena, kelmarin.
Neuer berkata, gol berkenaan hadir tepat pada masanya kerana Dortmund dilihat mula mempamerkan kebangkitan setelah ketinggalan dua gol pada perlawanan berkenaan."Bagi saya, gol itu terhasil daripada gabungan usaha dan bakat pada masa yang sama.
"Dia (Kimmich) tidak hanya membiarkan dirinya berada (tertiarap) di atas padang apabila masih mampu menyungkit bola ke gawang gol.
"Untuk itu, saya merasakan dia ternyata seorang pemain yang hebat," katanya.
Gol pada minit ke-82 itu terhasil apabila Kimmich yang melakukan rembatan ke pintu gol Dortmund sebelum jatuh (tertiarap) ke atas bola yang diselamatkan penjaga gol Roman Bukri; namun Kimmich masih sempat menghulurkan kakinya bagi menyungkit bola berkenaan masuk ke gawang gol lawan untuk gol ketiga Bayern.
Terdahulu Bayern mendahului menerusi jaringan Corentin Toliso pada minit minit ke-18 diikuti jaringan Thomas Muller (min-32) sebelum Julian Brandt menjaringkan gol pertama Dortmund pada minit ke-39 diikuti jaringan Erling Haland pada minit ke-55.
Haland turut berpeluang menjaringkan gol ketiga Dortmund beberapa minit selepas itu, namun Neuer berjaya menggagalkan rembatan bintang muda berkenaan.
Untuk rekod, Piala Super Jerman adalah trofi kedua buat Bayern musim ini setelah merangkul trofi Piala Super Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) apabila menewaskan Sevilla 2-1, minggu lalu.
Sementara itu bintang muda Dortmund Erling Haland meluahkan rasa kecewanya dengan keputusan perlawanan berkenaan.
Katanya, keputusan perlawanan mungkin berubah jika dia berjaya menjaringkan gol ketika mendapat peluang keemasan berbuat demikian setelah menjaringkan gol kedua Dortmund pada perlawanan berkenan.
"Ia menyakitkan bila kita tewas. Kita sepatutnya menang perlawanan itu. Ia satu perasaan yang buruk kerana kita berada terlalu hampir (untuk menang) dan saya seharusanya berjaya menjaringkan gol ketiga pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!