Rayuan Najib terhadap sabitan, hukuman kes SRC didengar Februari depan
PUTRAJAYA - Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan didengar pada 15 Februari depan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam menetapkan 12 hari bermula 15 hingga 18 Februari 22 hingga 25 Februari dan 1 hingga 4 Mac depan untuk pendengaran rayuan berkenaan semasa pengurusan kes hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Adrin Kamaril dan peguam Harvinderjit Singh dan Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib hadir semasa pengurusan kes tersebut.
Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.
Dua hari sebelum itu, ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes CBT dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.
Pada 7 Ogos, pihak pendakwaan memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara dan jumlah denda terhadap bekas perdana menteri itu.
Pada 25 September, Najib memperoleh lanjutan masa 30 hari untuk memfailkan petisyen rayuannya selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonannya untuk lanjutan masa.
Mengenai rayuan balas pihak pendakwaan, difahamkan bahawa berikutan pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan atau memohon untuk lanjutan masa, rayuan itu luput. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!