AS larang import produk minyak sawit FGV

Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia.- Foto AFP
Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia.- Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat melarang pengimportan minyak sawit dari Malaysia yang produknya ditemui dalam pelbagai barangan kerana bimbang para pekerja ladang komoditi itu berdepan dengan isu penderaan.

Minyak sawit merupakan bahan yang lazim digunakan daripada makanan diproses sehingga kepada kosmetik dan Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak tersebut selepas negara jirannya, Indonesia.

Kedua-dua negara itu mengeluarkan 85 peratus daripada permintaan dunia.

Bagaimanapun, industri itu telah lama menjadi kontroversi dengan para aktivis berkata, ia menyebabkan kemusnahan hutan hujan bagi menanam pokok kelapa sawit dan para pekerjanya kerap berdepan dengan penderaan.

Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mengumumkan lewat semalam, ia melarang import minyak sawit FGV Holdings, salah sebuah pengeluar utama komoditi tersebut berikutan siasatan panjang selama setahun.

Siasatan mendapati para pekerja merupakan subjek kepada keganasan seksual dan fizikal, intimidasi dan gaji mereka ditahan manakala terdapat kebimbangan syarikat berkenaan menggunakan buruh kanak-kanak.

"Penggunaan buruh kanak-kanak dalam pengeluaran seperti produk-produk sedia ada menyebabkan syarikat akan mendapat keuntungan daripada para pekerja yang mudah terjejas (dieksploitasi)," kata seorang pegawai agensi itu, Brenda Smith.

"Syarikat-syarikat ini mewujudkan persaingan tidak adil untuk sumber-sumber sahih barangan dan mendedahkan kepada awam produk-produk yang gagal memenuhi etika standard," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu yang dikuatkuasakan semalam bermakna semua produk minyak sawit dan minyak tersebut yang dikeluarkan oleh FGV dan syarikat berkaitan tidak boleh memasuki AS.

Sementara itu, FGV menyatakan 'kekecewaan' dengan langkah tersebut yang berlaku ketika ia mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lalu untuk memperbaiki standard operasinya.

"FGV tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dalam operasinya," kata kenyataan tersebut dalam satu kenyataan.

Langkah-langkah konkrit itu ialah memperbaiki prosedur pengambilan pekerja asing, komitmen untuk membayar yuran pengambilan pekerja tersebut dan meningkatkan pelaburan dalam memperbaiki tempat tinggal mereka, kata syarikat berkenaan.

Syarikat-syarikat minyak sawit Malaysia bergantung kepada para pekerja asing yang gaji mereka dibayar dengan murah dari negara-negara seperti Indonesia, India dan Bangladesh.

Namun, para pengkritik mendakwa kadangkala para pekerja membayar yuran mahal kepada ejen-ejen untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia sehingga menyebabkan mereka dibebani dengan hutang dalam jumlah yang besar. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!