Cuepacs gesa selesai segera proses siasatan semula kes Adib

Adnan (dua dari kiri) dan Hamdan (tiga dari kiri) melihat sijil Penghargaan Kesatuan oleh Presiden Kesatuan Bomba kepada AJK Kesatuan Negeri 2018-2020.
Adnan (dua dari kiri) dan Hamdan (tiga dari kiri) melihat sijil Penghargaan Kesatuan oleh Presiden Kesatuan Bomba kepada AJK Kesatuan Negeri 2018-2020.
A
A
A

SEREMBAN - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan segera proses siasatan semula kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Adnan Mat berkata, Cuepacs sentiasa memantau perkembangan terkini kes berkenaan, selain memberi sokongan kepada pihak berkuasa dalam meneruskan siasatan agar keadilan dapat ditegakkan.

"Kami juga berharap isu tersebut tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.

"Cuepacs menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk Allahyarhm Adib dituntut kerana keadilan itu penting bagi memastikan kes seumpamanya tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai majlis perasmian Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia (Cawangan Negeri Sembilan) ke-22 di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan di hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Hamdan Ali.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul ketika menjalankan tugasan melibatkan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dia disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Adnan berkata, penjawat awam sentiasa dipantau oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Audit Negara bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan dan rasuah ketika menjalankan tugas.

"Selain itu, penjawat awam turut dipantau oleh ketua perkhidmatan masing-masing, selain perlu mematuhi pekeliling perkhidmatan dan garis panduan sedia ada.

“Kita ada Jabatan Audit Negara yang membuat laporan setiap tahun dan segala tindakan hasil ketirisan atau apa-apa penemuan oleh jabatan akan diambil tindakan oleh jabatan yang berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal dengan hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!