Polis buru dua suspek kes samun
NILAI - Polis memburu dua lelaki bermotosikal yang menyamun seorang wanita warga emas dan anaknya di Kawasan Kuning Mantin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 69 tahun baru pulang ke rumah.
"Mangsa baru balik dari pasar kira-kira 10 minit dan secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal bersenjatakan parang meluru ke rumahnya.
"Suspek mengugut mangsa dan anaknya berusia 20-an untuk memberikan barangan berharga sebelum melarikan diri," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang bimbang dicederakan telah memberikan telefon bimbit dan barangan kemas yang nilai kerugian dianggarkan RM5,000.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah jiran mangsa, motosikal dinaiki suspek berwarna putih dan biru, namun jenis dan nombor pendaftaran belum dapat dipastikan.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat kejadian diharap dapat menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Nor Syuhada Laftib di talian 017-943 7584 atau Pusat Kawalan IPD Nilai 06-758 4999," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!