Covid-19: Pulau Pinang timbang adakan sidang DUN secara maya
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneliti keperluan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 12 Oktober ini menerusi maya sekiranya beberapa wakil rakyat yang kini sedang dikuarantin didapati positif Covid-19.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun setakat ini semua ahli DUN berkenaan yang pulang daripada berkempen di Sabah sejak 26 September lepas menunjukkan keputusan negatif.
Persidangan DUN berkenaan juga akan berlangsung selepas tempoh kuarantin 14 hari kesemua wakil rakyat terbabit, katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang keputusan mengenai persidangan DUN tersebut akan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan negeri. -Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham beri bayangan PKP semula
Sementara itu, Ciapan balas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada seorang pengguna Twitter menimbulkan persoalan kerana seakan-akan memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.
Dr Noor Hisham membalas ciapan pemilik akaun @zalifahms yang mencadangkan agar kerajaan menyekat perjalanan antara negeri buat sementara waktu dan tidak memberi kepercayaan dengan arahan kuarantin sendiri.
"Bagaimana jika semua kembali kekal berada di rumah seketika waktu?" tulis beliau.
Ciapan tersebut mengundang reaksi balas beberapa pengguna Twitter lain yang merasakan ia seperti memberi petunjuk PKP akan dilaksanakan semula.
Kes baharu positif Covid-19 di negara ini kembali kepada tiga angka sejak beberapa minggu ini susulan peningkatan kes di Sabah dan ia menimbulkan kebimbangan masyarakat.Hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia mencatatkan kes baharu setiap hari sekali gus menambah keyakinan berkemungkinan PKP dilaksanakan semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!