Exco Kedah, pembantu positif Covid-19
ALOR SETAR - Seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kedah yang pulang dari Sabah susulan membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Sumber berkata, beliau mengesahkan exco berkenaan kini menjalani rawatan selepas dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Menurut beliau, setakat ini, tiada individu lain yang pulang dari Sabah positif Covid-19, selain exco berkenaan dan pembantunya.
"Hanya dua orang disahkan buat masa ini iaitu exco berkenaan dan pembantunya selepas pulang dari membantu kempen PRN Sabah pada minggu lepas.
"Tiada pemimpin lain yang disahkan dijangkiti. Kesemua yang pulang dari Sabah dikehendaki menjalani kuarantin di kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Katanya, semua kontak rapat kepada exco dan pembantunya termasuk isteri mereka atau mana-mana pihak bertemu dua individu tersebut juga diminta menjalani ujian saringan.
Sumber berkata, tiada mana-mana exco lain bertemu dengan beberapa exco yang baharu pulang dari Sabah, malah mereka dinasihatkan tidak hadir Mesyuarat Exco, semalam.
"Selain itu, kita juga mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah Covid-19," katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati berkata, kira-kira 400 individu termasuk kakitangan Penjara Alor Setar menjalani saringan sejak semalam dan hari ini susulan kemunculan Kluster Tembok di Kedah dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata, beliau berharap semua orang terus berwaspada dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP ditetapkan khususnya di tempat orang ramai bagi memutuskan penularan Covid-19.
Semalam, Sinar Harian melaporkan empat Exco yang ke Sabah untuk membantu kempen PRN dinasihatkan tidak hadir ke Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!