DBKL antara PBT terbaik, kata Nor Hisham

Nor Hisham Ahmad Dahlan
Nor Hisham Ahmad Dahlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengakui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik sepanjang 39 tahun perkhidmatannya dalam agensi kerajaan.

Semalam, Nor Hisham menamatkan perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar selepas dua tahun menyandang jawatan itu sejak 2 Oktober 2018.

Menurut Nor Hisham, banyak dakwaan diterimanya berhubung reputasi buruk kakitangan dan jabatan di bawah DBKL termasuk salah guna kuasa dan pangkat.

"Masa mula-mula masuk, memang saya ada dengar tentang perkara itu tapi selepas menerajui DBKL saya boleh katakan kakitangan DBKL antara yang terbaik yang saya pernah jumpa.

"Soal dakwaan tak baik itu pada saya semua PBT dan pejabat tanah juga hadapi tuduhan yang sama, tambahan lagi peranan DBKL yang menjaga kawasan ibu kota Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Nor Hisham berharap, perkhidmatan cemerlang DBKL diteruskan, pada masa sama aspek kebajikan kakitangan dijaga.

"Kebajikan itu bukan hanya dari aspek naik gaji dan pemberian bonus sahaja tapi keselesaan kakitangan ketika bertugas juga perlu diberikan perhatian.

"Mana-mana perkara yang kurang itu ditambah baik, kadang-kala jika kita bertemu kakitangan tanya khabar dan dengar juga masalah mereka dari segi kerja dan keperluan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Hisham merupakan satu-satunya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berpengalaman berkhidmat di bawah dua Menteri Wilayah Persekutuan dari latar belakang politik berbeza iaitu Khalid Abdul Samad (Pakatan Harapan) dan Tan Sri Annuar Musa (Perikatan Nasional).

Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau memegang prinsip mengikut arahan kerajaan yang mentadbir pada ketika itu (follow government of the day).

"Soal politik kita tolak ke tepi. Saya selalu mengingatkan diri saya yang tugas penjawat awam hanya memberikan pandangan dan bukan membuat keputusan.

"Kita kena neutral dan tumpukan 100 peratus kepada kerja kita," katanya.

Antara pencapaian Nor Hisham sepanjang menerajui DBKL adalah pembinaan perumahan bandar di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk golongan B40 yang berstatus bujang dan bekerja di Kuala Lumpur.

Selain itu, sebuah Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit sebagai pusat aktiviti dan kelas bimbingan untuk golongan orang kurang upaya serta gelandangan kanak-kanak dan dewasa turut ditubuhkan.

Beliau juga menjadi orang penting bagi projek menaik taraf dan pengindahan Taman Tasik Titiwangsa serta melaksanakan program inisiatif hijau Pasar Borong Kuala Lumpur.

Hari ini, Annuar mengumumkan bekas Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!