UMNO bincang hala tuju parti dalam MT
SHAH ALAM - UMNO akan menentukan hala tuju parti tersebut menerusi perbincangan dalam Biro Politik UMNO dan akan dibawa kepada Majlis Tertinggi parti.
Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi ciapan di Twitternya hari ini.
Beliau berkata, perkara tersebut merupakan soal penting dan tidak sesuai untuk diputuskan oleh beliau sendiri tanpa persetujuan bersama.
"Hala tuju parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dibincangkan dalam Biro Politik UMNO dan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.
"Ini soal penting. Tidak sesuai saya bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama. Kita sedang melakukan post mortem menyeluruh," katanya hari ini.
Menurutnya, pimpinan parti juga boleh memberikan pandangan mereka mengenai hala tuju parti tersebut.
Sebelum itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di Facebooknya menggesa Ahmad Zahid menjelaskan hala tuju jelas kepada semua ahli berkaitan kerjasama parti itu dengan saingan politiknya.
Beliau berkata, konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRN Sabah.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama politik UMNO tidak menguntungkan, kata Tok Mat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!