MBS World bebas Covid-19
KUANTAN - Pihak pengurusan MBS World menafikan premis kendalian mereka di Tanah Putih di sini dikunjungi seorang pelanggan yang disahkan positif koronovirus (Covid-19).
Pengarah Urusan MBS World, Albert Leong berkata, pihaknya sudah menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) setelah mengetahui dakwaan yang telah tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp beberapa hari lalu.
Menurutnya, PKD mengesahkan pelanggan terbabit bukan dalam kategori berisiko tinggi untuk menyebarkan Covid-19.
"Saya difahamkan, pelanggan itu bersama anaknya ada memasuki premis kami, tetapi suami pelanggan itu hanya menunggu di dalam kenderaan.
"Malah, ujian swab dijalankan terhadap kedua-duanya menunjukkan mereka negatif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, terdapat khabar angin kononnya premis MBS World di Jalan Tanah Putih pernah dikunjungi pelanggan yang positif Covid-19.
Albert berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan proses sanitasi secara berterusan di premis mereka.
Jelasnya, premis itu akan disanitasi sebanyak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi sebelum dibuka kepada pelanggan dan kali kedua pada sebelah malam.
"Proses sanitasi ini adalah hasil inisiatif kami bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan.
"Pihak kita juga mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dan memberi jaminan bahawa premis itu selamat untuk dikunjungi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!