Rusia, Navalny saling tuding jari
MOSCOW - Kremlin hari ini menuduh pemimpin pembangkang, Alexei Navalny bekerja dengan Agensi Penyiasatan Persekutuan (CIA) dan membuat tuduhan tidak berasas selepas beliau mendakwa Presiden Vladimir Putin mendalangi insiden meracunnya dengan menggunakan agen saraf, Novichok.
Jurucakap presiden, Dmitry Peskov membuat kenyataan itu selepas Navalny dengan lantang menuding jari menyalahkan Putin.
"Saya menegaskan Putin berada di sebalik kejadian ini. Saya tidak lihat sebarang penjelasan lain," katanya kepada majalah mingguan di Jerman, Der Spiegel.
Menerusi wawancara tersebut, Navalny, 44, juga berikrar untuk kembali ke Rusia secepat mungkin memandangkan beliau sudah pulih sepenuhnya.
Peskov bagaimanapun mendakwa Navalny yang menuntut di Yale University di Amerika Syarikat bekerjasama dengan CIA.
"Bukan dia yang bekerja dengan mereka. Tetapi, perkhidmatan keselamatan Barat yang bekerja dengannya. Saya boleh katakan dengan jelas bahawa tenaga pengajar CIA sedang bekerjasama dengannya," ujar Peskov.
Dalam satu kenyataan lain, Speaker Parlimen, Vyacheslav Volodin juga menyelar tuduhan dibuat Navalny dan menegaskan beliau sebenarnya berhutang nyawa dengan Putin.
"Dia adalah lelaki yang tidak tahu malu dan kejam," sindirnya.
Difahamkan, beliau dibenarkan untuk discaj dari hospital lebih seminggu lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!