Dekri lockdown separa di Madrid
MADRID - Pemerintah Sepanyol hari ini mengeluarkan dekri untuk melanjutkan sekatan drastik di seluruh ibu negara yang bakal menyaksikan langkah lockdown separa akan berkuat kuasa dalam tempoh 48 jam walaupun berdepan bantahan pihak berkuasa wilayah Madrid.
Langkah itu dibuat selepas ibu negara kini bergelut dengan kadar jangkitan 780 kes untuk setiap 100,000 individu berbanding 300 kes untuk setiap 100,000 di wilayah lain yang bermakna ia kini mencatatkan angka tertinggi di Kesatuan Eropah (EU).
Terdahulu, Ketua Wilayah Madrid, Isabel Diaz Ayuso menolak langkah tersebut selepas Kementerian Kesihatan lewat malam tadi mengumumkan akan melaksanakan lockdown ke atas bandar yang mempunyai populasi lebih tiga juta penduduk itu dan bandar sekitarnya dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Mereka tidak boleh melakukan langkah sedemikian tanpa mendapat persetujuan semua pihak. Saya yakin rancangan Madrid untuk melakukan ujian segera, melaksanakan kuarantin adalah yang terbaik untuk memastikan kehidupan berjalan seperti biasa,” ujar Diaz Ayuso.
Menurutnya, beliau akan mencabar perintah Kementerian Kesihatan tersebut berikutan wilayah lain seperti timur laut Catalonia, Andalusia dan Galicia juga membantah langkah tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!