Perak terus promosi negeri pelancongan lokal terbaik
IPOH - Kerajaan negeri sentiasa mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan lokal terbaik di negara ini.
Exco Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, perkara berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan Perak yang mahu mengajak pelancong merasai sendiri kehidupan di kampung-kampung.
“Ia juga bertepatan dengan tema kita iaitu 'meet local, share local, experience local.'
"Pelancong yang nak rasai pengalaman di kampung, tak akan dapat di tempat lain dan tawaran itu hanya ada di Kuala Kangsar dan Sungai Siput,” katanya.
Kar Hing berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Eko Pelancongan Daerah Sungai Siput dan Kuala Kangsar di Pulau Raia, Sungai Siput, hari ini.
Majlis berlangsung meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti.
Antara acara yang dianjurkan adalah 'jungle tracking' di Pulau Raia, permainan tarik tali dalam sungai, aktiviti berkayak serta aneka jualan makanan serta barangan cenderahati di Kem Lang Buana.
Kar Hing turut menyertai aktiviti berkayak bersama peserta dari Pulau Raia sehingga ke jeti Kem Lang Buana, di Kampung Jawang.
Hadir sama, Penaung Persatuan Pembangunan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar, Siti Norlizawati Narawi.
Sementara itu Siti Norlizawati berkata, pertandingan tarik tali antara tebing Sungai Perak bakal diadakan pada Ogos depan.
Katanya, pertandingan berkenaan bakal melibatkan tiga kategori iaitu badan beruniform, institusi pengajian tinggi dan penduduk kampung.
“Pertandingan ini zaman British dah ada, sekarang kita mahu popularkan semula seperti perlawanan tebing dan tebing, serta tarik tali untuk kenangkan kembali permainan-permainan itu.
“Selain itu kita juga ada ekspedisi berkayak bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Empangan Chenderoh sehingga ke Jambatan Victoria.
“Kita juga sedang merangka untuk adakan Kem Musim Panas Antrabangsa di sini dengan penglibatan 1,000 peserta dari seluruh dunia, mereka akan berkhemah di sepanjang Sungai Perak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!