Murid tahun dua lemas ketika mandi sungai

Mayat mangsa Muhammad Adam Qayyum Ahmad Abdul Hadi ditemukan orang awam ketika pihak bomba tiba di lokasi. - Gambar hiasan
Mayat mangsa Muhammad Adam Qayyum Ahmad Abdul Hadi ditemukan orang awam ketika pihak bomba tiba di lokasi. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang murid Tahun Dua ditemukan lemas selepas tergelincir ketika mandi di Sungai Terengganu sekitar Kampung Lembah Harapan, Seberang Takir di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.35 petang sebelum sembilan anggota bersama satu jentera dikerah ke lokasi kejadian.

"Ketika pihak bomba tiba di lokasi, mayat mangsa Muhammad Adam Qayyum Ahmad Abdul Hadi, 8, telah ditemukan orang awam. Pihak bomba dan pihak kesihatan bertindak melakukan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Ahmad Mizan Hashim, 29, yang menemukan mangsa berkata beliau dan tiga rakannya bertindak terjun ke dalam sungai untuk mencari mangsa selepas dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa kanak-kanak tersebut.

"Saya tanya abang mangsa kawasan mana adiknya lemas sebelum kami mula menyelam. Setelah beberapa kali menyelam, saya jumpa mangsa yang berada pada kedalaman hampir satu meter dari permukaan sungai," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!