Amaran tangkap ahli Hizbut Tahrir
JOHOR - Polis Johor akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada ahli Hizbut Tahrir Malaysia sekiranya mereka melangkaui garisan keselamatan dan menggugat keharmonian negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, walaupun belum ada sebarang tangkapan dibuat, namun Polis Johor sentiasa memantau pergerakan anggota fahaman itu di negeri ini.
“Fahaman Hizbut Tahrir menolak demokrasi dan melabelkan kerajaan Malaysia sebagai kerajaan kufur, kafir dan sebagainya yang wajib diguling menggunakan kekerasan tetapi setakat ini belum ada tindakan ke arah kekerasan dilakukan.
“Walaupun Hizbut Tahrir di bawah bidang kuasa jabatan agama, namun polis sentiasa memantau pergerakan kumpulan itu. Jika melangkaui garisan keselamatan, kita ambil tindakan tegas mengikut SOSMA,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Johor perangi fahaman Hizbut Tahrir
Dalam pada itu katanya, sebanyak 17 laporan polis diterima berkenaan Facebook Live yang dibuat Hizbut Tahrir selepas mereka gagal menyerahkan memorandum bantahan kepada Jabatan Mufti Johor pada Ahad lalu.
Katanya, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!