Festival Demokrasi raikan peralihan kerajaan
KUALA LUMPUR - Forces of Renewal South East Asia (Forsea) akan mengadakan Festival Demokrasi bagi meraikan proses perjalanan pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018.
Ahli Lembaga Pengarah Forsea, Hishamuddin Rais berkata, festival yang julung kali diadakan di rantau ini akan bermula pada 13 hingga 17 Februari 2019 bertempat di MAP, Publika dengan membawa delegasi-delegasi tersohor daripada 11 negara Asia Tenggara.
“Tujuan utama festival ini ialah meraikan proses demokrasi yang berlangsung pada PRU14 lalu, Malaysia dilihat pemula demokrasi bukan senjata contoh peralihan kepada peralihan demokrasi,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, festival itu akan menampilkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebagai pemberi ucaptama dan akan diserikan dengan kata-kata aluan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan juga Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Malah katanya, lebih istimewa apabila buat pertama kalinya tokoh tersohor Professor Noam Chomsky dari Amerika Syarikat akan turut menyampaikan pandangan beliau mengenai politik Asia Tenggara.
“Sebagai kesinambungan pasca 9 Mei tahun lalu, Malaysia dilihat sebagai satu pentas yang boleh memimpin pengukuhan demokrasi di rantau ini.
“Atas dasar itulah, festival ini akan menyediakan ruang perbincangan luas dan telus melibatkan pengalaman yang dilalui negara serantau termasuk tragedi pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya dan pengalaman Indonesia pada 1965 serta pengalaman Cambodia di bawah rejim Pol Pot pada 1975,” katanya.
Hishamuddin yang juga aktivis politik berkata, justeru, pelbagai pakar dan ilmuan dalam bidang masing-masing akan berkongsi buah fikiran dan pandangan mereka dalam isu yang dekat dalam masyarakat Asia Tenggara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!