Cara elak tidak cukup duit belanja

Kemudahan membeli secara dalam talian perlu dilakukan secara berhemah supaya kita tidak terlalu asyik berbelanja sehingga kehabisan wang sebelum waktunya
Kemudahan membeli secara dalam talian perlu dilakukan secara berhemah supaya kita tidak terlalu asyik berbelanja sehingga kehabisan wang sebelum waktunya
A
A
A

Pernahkah anda bertanya kepada ibu bapa bagaimana mereka membeli rumah dan kereta?

Jika belum pernah, ketahuilah bahawa sebahagian besar ibu bapa membeli rumah dan kereta dengan mengambil pinjaman bank. Mengapa mereka perlu mengambil pinjaman dan adakah ia satu amalan yang kurang bijak?

Sebenarnya, mengambil pinjaman untuk membeli sesuatu yang bermanfaat tetapi berharga mahal sememangnya tidak dapat dielakkan kerana tidak ramai antara kita mempunyai tunai yang banyak untuk memilikinya secara sekali gus.

Silapnya ialah apabila seseorang itu membuat pinjaman tidak bermanfaat seperti membeli beg tangan berharga RM10,000 dengan kad kredit. Ini kerana beg tangan berkenaan tidak mempunyai nilai jangka panjang dan mungkin rosak selepas setahun dua digunakan.

Hutang kad kredit pula jika tidak dilunaskan dengan segera, akan bertambah dari bulan ke bulan kerana penalti yang dikenakan.

Justeru, dalam mengurus kewangan apabila bekerja kelak, ambillah sikap berhati-hati apabila berhutang kerana ia memberi kesan kepada wang yang boleh dibelanjakan setiap bulan.

Jangan tersilap langkah sehingga anda mungkin terpaksa bekerja untuk membayar hutang semata-mata.

Jadi, bagaimana hendak pastikan kita sentiasa mempunyai wang yang cukup, ikuti empat langkah mudah berikut:

1. Buat bajet

Buatlah bajet bulanan anda supaya anda tahu ke mana wang anda pergi. Bajet ialah catatan wang masuk dan keluar setiap bulan.

Artikel Berkaitan:


Katakan anda menerima RM100 setiap bulan, catatkan jumlah yang anda terima, jumlah belanja setiap hari dan jumlah lebihan setiap bulan.

Jadikannya amalan dari sekarang supaya apabila dewasa kelak, anda sudah terbiasa untuk sentiasa memantau keluar masuk anda.

2. Urus tunai dengan bijak

Elakkan boros berbelanja kerana ia boleh menyebabkan anda tidak cukup duit sehingga terpaksa meminjam daripada ibu bapa kerana duit habis sebelum menerima elaun bulan berikutnya.

Tidak mustahil, ibu bapa memotong elaun bulan berikutnya untuk melunaskan hutang anda itu. Jika ini berlaku, mungkin sampai bila-bila anda tidak akan menerima elaun penuh, mesti tidak seronok kan? Jadi berbelanjalah mengikut kemampuan.

No Image Caption



3. Elak hutang

Apabila sudah mula berhutang, anda terikat untuk membayarnya sehingga ia selesai. Jadi elakkan hutang yang tidak perlu semata-mata kerana anda kehabisan tunai.

Apabila sudah bekerja kelak, pastikan anda mengambil hutang berdasarkan kemampuan supaya anda mampu membayarnya dan pada masa sama, menikmati kehidupan yang selesa. Bayar tepat pada masanya supaya anda tidak dikenakan caj tambahan.

4. Melabur

Pastikan anda mengenepikan wang untuk melabur, contohnya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ini kerana sebarang bentuk pelaburan akan membantu wang anda berkembang dari tahun ke tahun.

Mulakan dari sekarang atau dari gaji pertama anda. Kuasa kompaun akan membantu anda duit yang anda laburkan untuk terus bertambah dari tahun ke tahun selagi modal pelaburan dan dividen tidak dikeluarkan.

Tetapkan matlamat dan pastinya satu hari nanti, anda mampu mencapai kemerdekaan kewangan.

Untuk maklumat lanjut sila klik pautan www.asnb.com.my

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!