Ahli Parlimen UK positif Covid-19 naik kereta api sejauh 600km

Gambar fail menunjukkan Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon (kanan) bersama Ahli Parlimen United Kingdom yang dijangkiti Covid-19, Margaret Ferrier (kiri). - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon (kanan) bersama Ahli Parlimen United Kingdom yang dijangkiti Covid-19, Margaret Ferrier (kiri). - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Seorang ahli Parlimen di United Kingdom (UK) semalam digantung daripada partinya kerana melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer balik ke kawasan pilihan raya dari London, England hingga ke Scotland dengan menaiki kereta api setelah didapati positif koronavirus (Covid-19).

Margaret Ferrier daripada Parti Nasional Scotland (SNP) pada asalnya melakukan perjalanan ke London dan menghadiri sesi Parlimen di Westminster sementara menunggu keputusan ujian swab koronavirusnya, lapor portal berita MailOnline pada 1 Oktober lalu.

Beliau mengatakan 'tidak ada alasan untuk tindakan saya itu' dan 'saya meminta maaf tanpa syarat kerana melanggar sekatan Covid-19 dengan melakukan perjalanan minggu ini ketika saya tidak seharusnya berbuat demikian'.

Ian Blackford, pemimpin parti SNP di Parlimen UK menegaskan, beliau telah menggantung Ferrier yang bersetuju untuk merujuk dirinya kepada suruhanjaya standard Parlimen dan pihak polis.

Pemimpin SNP dan Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon dalam responsnya mengatakan tindakan ahli Parlimen itu sama sekali tidak dapat dipertahankan.

Sturgeon menambah: "Suka untuk menyatakan betapa marahnya perasaan saya atas nama rakyat di seluruh negara yang melakukan pengorbanan setiap hari untuk membantu mengalahkan Covid-19."

Dalam satu kenyataan, Ferrier yang mewakili kawasan Rutherglen dan Hamilton West dekat bandar raya Glasgow di Scotland mengatakan bahawa beliau mengambil ujian swab koronavirus pada hari Sabtu lalu, setelah mengalami gejala ringan selesema pada hari itu.

"Setelah saya berasa lebih baik, saya kemudian pergi ke London dengan kereta api pada hari Isnin untuk menghadiri sesi Parlimen seperti yang dirancang," katanya.

Artikel Berkaitan:

London terletak kira-kira 600 kilometer dari kawasan Parlimennya di Scotland.

"Ini salah dan saya sangat menyesal atas kesalahan saya," ujar Ferrier.

Pada hari Isnin lalu, beliau terlibat dalam satu perbahasan koronavirus di dewan House of Commons.

Kemudian pada malamnya, Ferrier mengatakan bahawa beliau mendapat keputusan positif Covid-19 dan berkata: "Saya pulang ke rumah (di Scotland) dengan kereta api pada hari Selasa pagi tanpa meminta nasihat daripada pihak berkuasa kesihatan.

"Ini juga salah dan saya minta maaf. Sejak itu saya menjalani kuarantin di rumah.

"Saya telah memberitahu pentadbir House of Commons yang telah bercakap dengan pihak berkuasa kesihatan England. Saya juga telah memberitahu polis mengenai tindakan saya.

"Walaupun saya berasa sihat, saya sepatutnya melakukan kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 saya.

“Saya sangat menyesali tindakan saya. Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan saya menggesa semua orang untuk tidak melakukan kesalahan yang sama seperti saya dan memastikan mereka dapat membantu mengehadkan penularan Covid-19."

Di bawah undang-undang di UK, perbuatan seperti itu boleh dikenakan hukuman denda 1,000 pound sterling (RM5,348).

Jurucakap House of Commons mengatakan Ferrier hanya memberitahu parti SNP mengenai ujian swab positifnya pada petang Rabu.

"Speaker diberitahu dan pihak berkuasa segera mengambil semua langkah yang sewajarnya.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam sistem pengesanan Covid-19, hanya satu individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dalam kes ini dan dia

sekarang sedang menjalani kuarantin," katanya seperti dilaporkan akhbar Scottish Sun.

Ferrier menyiarkan beberapa keping gambar dalam akaun Twitternya pada hari Sabtu lalu mengenai lawatannya ke tempat-tempat di kawasan Parlimennya termasuk ke

salun kecantikan dan pusat rekreasi tetapi tidak jelas apakah lawatan itu dilakukan pada hari yang sama. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!