UMP tangguh kemasukan pelajar dari Sabah dan zon merah
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan kemasukan pelajar dari Sabah dan zon merah secara bersemuka di Kampus UMP Pekan dan Gambang secara berperingkat mulai 12 hingga 14 Oktober ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pihaknya turut mengambil langkah menangguhkan kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum hari pendaftaran.
Menurutnya, arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal itu meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar UMP.
"Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan kembali pulih.
"Kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari Sabah dan zon merah kekal seperti dijadualkan serta mereka perlu mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Yuserrie berkata, tindakan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyarankan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
"Justeru, semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan pelajar UMP dinasihatkan supaya mengambil langkah waspada dalam mencegah risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) di UMP dengan mematuhi sepenuhnya garis panduan ditetapkan serta mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
"Pelajar juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap sebarang pemakluman rasmi, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari masa ke semasa," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, proses pendaftaran pelajar baharu dilakukan secara dalam talian bermula 5 hingga 9 Oktober ini bagi tujuan pengaktifan status pelajar termasuk pengajaran dan pembelajaran.
Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan Minggu Induksi Siswa (MINDS) dan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP.
"Pengurusan UMP sentiasa memantau rapat perkembangan pandemik Covid-19 dan memandang serius terhadap laporan peningkatan kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!