Rasuah libatkan penjawat awam bukti PN gagal: AMK
SHAH ALAM - Pendedahan salah laku rasuah di sektor awam yang didakwa melibatkan pimpinan tertinggi agensi kerajaan semalam seolah-olah menunjukkan kerajaan hari ini mula 'membusuk dari dalam'.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata, pendedahan itu secara tidak langsung membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menangani isu rasuah.
Beliau berkata, ketika rakyat sedang bergelut dengan keadaan ekonomi dan kemerosotan pendapatan akibat wabak Covid-19, ada golongan atasan sedang rakus mengaut laba keuntungan secara tamak dan haloba.
"Malaysia memerlukan perubahan segera yang menyeluruh untuk memastikan tadbir urus yang mampan dan tuntas. Jadi, agenda reformasi perlu segera diterjemahkan dalam memacu negara yang berdaulat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau berpendapat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi peluang memimpin negara bagi untuk memacu ekonomi yang lebih baik.
ARTIKEL BERKAITAN Kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan makin kritikal: Azam Baki
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memberitahu penjawat awam antara kumpulan terbesar yang dikesan terlibat dalam kes rasuah membabitkan penyelewengan perolehan kerajaan.
Menurutnya, hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan dan kebiasaannya melibatkan pemegang tertinggi dalam agensi kerajaan yang memutuskan sesuatu perkara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!